Zhengzhou laksana operasi nyahjangkit pasca hujan lebat

Bernama
Julai 26, 2021 18:20 MYT
Misi itu melibatkan lebih 56,000 anggota penyelamat yang dilaksanakan di enam kawasan termasuk Zhengzhou, Xinxiang, Zhoukou, Hebi, Kaifeng dan Xuchang. - Foto BERNAMA/CMG
ZHENGZHOU: Kerajaan wilayah Henan di China melaporkan sekurang-kurangnya 63 terkorban manakala lima lagi hilang akibat hujan lebat di sini, Ahad.
Bagaimanapun, kehidupan masyarakat tempatan beransur pulih sambil kerja-kerja nyahjangkit turut dilaksanakan.
Jelas Biro Pentadbiran Kecemasan Henan, sehingga Ahad, lebih 11 juta penduduk di 139 buah daerah dan 1,464 buah pekan terjejas, menyaksikan hampir 900,000 individu terpaksa dipindahkan.
Operasi menyelamat termasuk membina empangan sementara, menyelamatkan mangsa terperangkap, memindahkan penduduk dan penyahairan.
Misi itu melibatkan lebih 56,000 anggota penyelamat yang dilaksanakan di enam kawasan termasuk Zhengzhou, Xinxiang, Zhoukou, Hebi, Kaifeng dan Xuchang.
Sementara itu, kerja pembersihan sampah sarap dan lumpur serta penyahjangkit yang dilaksanakan di bandar Zhengzhou turut merangkumi bangunan kediaman, stesen pembuangan sampah, tandas awam, taman, pasar, jalan, tapak pembinaan, tapak kediaman sementara, kampung dan pusat penternakan.
-- BERNAMA
#hujan lebat #Henan #Zhengzhou #Xuchang #sampah
;