Zelenskyy nafi Rusia tawan Bakhmut

Bernama
Mei 21, 2023 22:43 MYT
Zelenskyy seolah-olah mengakui kekalahan itu dalam komennya pada Ahad sebelum kembali menafikannya. - Gambar fail/AP
MOSCOW: Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pada Ahad menafikan bahawa Rusia telah menguasai Bakhmut selepas tentera Rusia dirakam menaikkan bendera di bandar yang menjadi perebutan itu, lapor Sputnik.
"Saya sudah pasti tahu apa yang berlaku di Bakhmut... Sehingga hari ini, Bakhmut tidak diduduki oleh Persekutuan Rusia," katanya pada sidang media di luar sidang kemuncak G7 di Hiroshima, Jepun.
Pada Sabtu, ketua syarikat tentera swasta Kumpulan Wagner, Yevgeny Prigozhin, mengumumkan penaklukan Bakhmut. Kementerian Pertahanan Rusia kemudiannya mengesahkan bahawa bandar itu telah jatuh sepenuhnya dalam kawalan tentera Rusia.
Zelenskyy seolah-olah mengakui kekalahan itu dalam komennya pada Ahad sebelum kembali menafikannya.
Prigozhin berkata: "tidak ada seorang pun askar Ukraine di bandar itu dan mendakwa presiden Ukraine itu sama ada tidak jujur atau tidak mengetahui apa yang terjadi sebenarnya di lapangan."
-- BERNAMA
#Rusia #Ukraine #Bakhmut #Volodymyr Zelenskyy
;