Zelenskyy bertemu Presiden Erdogan hari ini

Agensi
Julai 7, 2023 08:45 MYT
Presiden Volodymyr Zelenskyy berjabat tangan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan selepas kedua-dua mereka mengadakan sidang media di Lviv, Ukraine pada 18 Ogos 2022. - Gambar fail REUTERS
ISTANBUL: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy melakukan kunjungan ke Turki hari ini untuk mengadakan pertemuan pertama beliau dengan rakan sejawatannya, Recep Tayyip Erdogan sejak pencerobohan Rusia ke atas negaranya.
Kedua-dua pemimpin berkenaan dijangka mengadakan sidang media sebaik selesai pertemuan itu di Istanbul.
Pertemuan antara Zelenskyy dan Erdogan dijangka memberi tumpuan kepada perjanjian penghantaran bijirin Ukraine melintasi Laut Hitam yang akan tamat tempoh serta persidangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) minggu depan.
Bagaimanapun, penganalisis turut menjangka Zelenskyy akan mendesak Erdogan untuk memberi lampu hijau terhadap keahlian Sweden dalam NATO menjelang persidangan persekutuan pada 11-12 Julai di ibu negara Lithuania, Vilnius.
Turki pula dalam masa sama menghalang pencalonan Sweden disebabkan perselisihan yang berpanjangan berkenaan sikap Stockholm yang dianggap lemah terhadap anggota militan Kurdish yang tinggal di negara Nordik itu.
Zelenskyy dan Erdogan juga ingin memanjangkan perjanjian yang diusahakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Turki bersama-sama dengan Russia bagi membenarkan Ukraine menghantar bijirin ke pasaran global semasa perang.
Erdogan juga telah berusaha menggunakan hubungan kerja baiknya dengan Zelenskyy dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, untuk mencari jalan mediasi dalam usaha mengakhiri perang antara kedua-dua negara itu.
Turki telah mengadakan dua pusingan awal rundingan keamanan dan sedang berusaha untuk lebih banyak rundingan dilakukan.
Bagaimanapun, kerajaan negara-negara Barat bimbang mengenai hubungan ekonomi yang semakin berkembang antara anggota NATO, Turki dan Russia serta halangan Turki terhadap pengembangan blok tersebut. - Agensi
#Volodymyr Zelenskyy #Recep Tayyip Erdogan #Zelenskyy jumpa Erdogan #NATO
;