Zelenskyy adakan pertemuan dengan Pope, pemimpin Itali
Bernama
Mei 14, 2023 14:00 MYT
Mei 14, 2023 14:00 MYT
ROM: Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pada Sabtu mengadakan perbincangan dengan Pope Francis di Rom dan bertemu beberapa pemimpin Itali sempena lawatan beliau ke Itali.
Dalam temu bual dengan televisyen RAI, Zelenskyy berkata beliau berbesar hati untuk bertemu dengan Pope yang telah berulang kali menawarkan untuk memainkan peranan untuk rundingan bagi menamatkan peperangan di Ukraine.
Memetik satu kenyataan yang dikeluarkan Vatican, dalam pertemuan selama kira-kira 40 minit, Zelenskyy dan Francis membincangkan keperluan untuk membantu mereka yang menjadi mangsa akibat konflik itu.
Menerusi akaun Twitternya selepas pertemuan itu, Zelenskyy berkata beribu-ribu kanak-kanak telah "diusir ke Rusia" dan perlu dipulangkan ke tanah air mereka semula.
Sebelum itu, beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Itali Sergio Mattarella dan Perdana Menteri Giorgia Meloni secara berasingan yang menyaksikan kedua-dua pemimpin berkenaan menjanjikan sokongan penuh ketenteraan dan kewangan.
Mattarella dan Meloni juga mengulangi hasrat untuk memperjuangkan bidaan Ukraine untuk keahlian penuh Kesatuan Eropah.
Selepas Rom, Zelenskyy dijadual berlepas ke Berlin pada Ahad.
-- BERNAMA