Zelensky umum pakatan untuk tingkatkan industri senjata Ukraine

Bernama
September 30, 2023 21:28 MYT
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengumumkan pada Sabtu penubuhan Perikatan Industri Pertahanan untuk meningkatkan pengeluar senjata di negara itu. - Gambar fail/AP
KYIV: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengumumkan pada Sabtu penubuhan Perikatan Industri Pertahanan untuk meningkatkan pengeluar senjata di negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Zelensky yang menganjurkan forum untuk industri pertahanan antarabangsa di Kiev itu berkata pembangunan industri pertahanan moden di Ukraine adalah keutamaan utama bagi negara.
Beliau berkata matlamatnya adalah untuk menjadikan Ukraine sebagai antara pengeluar senjata terbesar di dunia.
Ukraine telah memerangi pencerobohan Rusia sejak Februari 2022 dan sangat bergantung pada senjata yang dibekalkan oleh Barat, serta berharap dapat meningkatkan pengeluaran peralatan pertahanan di negara itu.
Zelensky berkata dalam catatan di media sosial, negara itu merancang untuk menghasilkan roket, dron dan peluru dengan kerjasama syarikat antarabangsa terkemuka.
"Ukraine bersedia untuk menawarkan syarat khas kepada syarikat yang bersedia membangunkan pengeluaran pertahanan bersama negara kita, termasuk dengan dana pertahanan khas sebagai tambahan kepada perbelanjaan pertahanan negara," kata Zelensky,
Perikatan baharu itu akan berdasarkan deklarasi yang telah ditandatangani oleh 13 pengeluar senjata terkemuka dan mengalu-alukan lebih banyak pengeluar untuk menyertainya, kata Zelensky.
-- BERNAMA
#Presiden Ukraine #Volodymyr Zelensky #industri senjata #Perikatan Industri Pertahanan
;