Zelensky sedia berunding dengan Putin

Bernama
Februari 5, 2025 23:49 MYT
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menyatakan kesediaan untuk mengadakan rundingan secara langsung dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, tetapi di bawah syarat tertentu. - Gambar fail/REUTERS
KYIV: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menyatakan kesediaan untuk mengadakan rundingan secara langsung dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, tetapi di bawah syarat tertentu, lapor agensi berita Jerman dpa.
Selain Ukraine dan Rusia, beliau berkata rundingan itu juga perlu melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, menurut temu bual bersama wartawan Britain, Piers Morgan, yang disiarkan di YouTube lewat Selasa.
Tidak jelas sama ada Zelensky merujuk kepada Kesatuan Eropah atau kepada negara anggota individu.
"Jika ini satu-satunya cara untuk membawa keamanan kepada rakyat Ukraine dan mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa, kami pasti akan menghadiri pertemuan ini bersama keempat-empat pihak ini," katanya.
"Saya tidak akan bersikap baik terhadapnya, saya menganggapnya sebagai musuh, dan terus terang, saya rasa dia juga menganggap saya sebagai musuh," tambahnya.
Putin baru-baru ini menegaskan bahawa beliau bersedia untuk berunding, namun mendakwa Zelensky telah menyekat sebarang rundingan dengannya. Putin merujuk kepada dekri yang ditandatangani oleh Zelensky pada September 2022, selepas Rusia mengilhakkan empat wilayah Ukraine yang sebahagiannya diduduki, iaitu Luhansk, Donetsk, Zaporizhzhya dan Kherson.
Walaupun dekri itu tidak melarang rundingan dengan pemimpin Rusia itu, ia menyatakan bahawa rundingan adalah mustahil dalam situasi semasa. Zelensky baru-baru ini berkata dokumen itu bertujuan menghalang potensi pemisahan kerana Moscow ketika itu sedang mencari saluran komunikasi tidak rasmi dengan Ukraine.
Morgan mempunyai hubungan rapat dengan Presiden AS Donald Trump, yang mendesak supaya perang di Ukraine yang telah berlarutan hampir tiga tahun ditamatkan.
Dalam ucapan videonya pada Selasa, Zelensky berkata Ukraine telah memulakan "perbincangan substantif" dengan AS.
-- BERNAMA
#Ukraine #Rusia #Volodymyr Zelensky #Vladimir Putin
;