Zelensky ingin lihat Rusia hadir ke persidangan keamanan Ukraine seterusnya
Bernama
Julai 15, 2024 05:15 MYT
Julai 15, 2024 05:15 MYT
MOSCOW: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata pada Isnin bahawa Rusia perlu diwakili di persidangan keamanan seterusnya mengenai Ukraine, lapor Agensi Anadolu.
Bercakap pada sidang akhbar di Kyiv, Zelensky berkata beliau telah menugaskan Kerajaan Ukraine untuk menganjurkan acara itu menjelang November tahun ini.
"Saya fikir wakil Rusia perlu hadir pada sidang kemuncak kedua," katanya.
Sementara itu, persidangan keamanan mengenai Ukraine dari 15 hingga 16 Jun di Burgenstock, Switzerland, diadakan tanpa penyertaan Rusia.
Wakil dari 92 negara dan lapan organisasi antarabangsa menghadiri persidangan di Switzerland itu. Persidangan itu berakhir dengan penerimaan kenyataan akhir yang tidak ditandatangani oleh beberapa negara termasuk Brazil, India, Afrika Selatan dan Arab Saudi.
Kenyataan itu meliputi tiga isu: eksport bijirin Ukraine, keselamatan stesen janakuasa nuklear dan kepulangan tawanan perang.
Sehari sebelum sidang kemuncak itu, Presiden Rusia Vladimir Putin meneruskan inisiatif keamanannya sendiri, menggesa Ukraine mengiktiraf tuntutan wilayah Rusia yang dibuat semasa "operasi ketenteraan khas" yang bermula pada Februari 2022.
-- BERNAMA