Zambry bersama menteri-menteri ASEAN bertemu Jokowi sebelum Mesyuarat ACC

Bernama
Februari 3, 2023 16:35 MYT
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (kanan) berjabat tangan dengan Joko Widodo ketika menyertai menteri-menteri ASEAN mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia itu di Istana Merdeka, Jakarta, pada Jumaat. - Gambar BERNAMA
JAKARTA: Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersama menteri-menteri ASEAN mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia, Joko Widodo sebelum Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-32 pada Jumaat, di sini.
Pertemuan bersama Joko Widodo atau lebih mesra dipanggil Jokowi itu berlangsung di Istana Merdeka, dalam rangka agenda sempena siri mesyuarat Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM).
Pelbagai perkara dibincangkan termasuk usaha mengukuhkan ASEAN dan meningkatkan kerjasama dalam kalangan negara anggota.
"Ini penting untuk memastikan ASEAN terus dihormati sebagai blok serantau yang mantap.
"Rantau ini perlu mengelak daripada dipengaruhi oleh mana-mana kuasa dan mengekalkan prinsip yang dipegang dan diperjuangkan oleh ASEAN selama ini," kata Zambry kepada media Malaysia hari ini.
Zambry berkata, nada sama turut dinyatakan Jokowi mengenai perlunya semua negara berkerjasama untuk memastikan agar rantau ASEAN terus terpelihara dari segi keamanan dan kebersamaan.
ASEAN perlu bebas tanpa ada ganggu-gugat dari mana-mana pihak atau terpengaruh dengan mana-mana kuasa sehingga memerangkap rantau ini ke dalam satu krisis pada jangka masa panjang, katanya.
Mesyuarat ACC yang bermula 2.30 petang di Sekretariat ASEAN berlangsung tanpa kehadiran wakil dari Myanmar dan telah dimulakan dengan 'working lunch' yang membahas isu Myanmar. - BERNAMA
#Zambry Abdul Kadir #Presiden Joko Widodo #menteri-menteri ASEAN #Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN
;