Zambry akan hadir Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN

Bernama
Februari 2, 2023 17:29 MYT
Zambry akan mengambil peluang untuk mengadakan mesyuarat sampingan dengan beberapa rakan sejawatannya bagi membincangkan pengukuhan hubungan dua hala. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-32 dan Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang akan diadakan di Jakarta, Indonesia dari 3 hingga 4 Februari.
Indonesia merupakan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2023 dengan tema "ASEAN Matters: Epicentrum of Growth".
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Indonesia dijangka mengumumkan bidang keutamaan dan hasil utama Kepengerusian ASEAN untuk tahun 2023.
Antara isu yang akan dibincangkan oleh menteri-menteri luar ASEAN mengenai pelaksanaan serta tindakan susulan terhadap keputusan yang telah dicapai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 pada November 2022.
Ia termasuk pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, permohonan Timor-Leste untuk menjadi negara anggota ASEAN, kapasiti dan keberkesanan institusi ASEAN, hubungan luar serta pertukaran pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
"ACC ke-32 dan AMM ini akan memberi peluang terbaik untuk Malaysia dan negara anggota ASEAN yang lain bagi mengukuhkan lagi usaha ASEAN ke arah membina Komuniti yang inklusif, mampan dan berdaya tahan berlatarkan cabaran geopolitik, tekanan inflasi serta krisis makanan dan tenaga," menurut Wisma Putra.
Selaras dengan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN ke-40, Timor-Leste akan mengambil bahagian dalam mesyuarat ACC ke-32 dan AMM itu sebagai pemerhati.
Zambry juga akan mengambil peluang untuk mengadakan mesyuarat sampingan dengan beberapa rakan sejawatannya bagi membincangkan pengukuhan hubungan dua hala. - BERNAMA
#Zambry Abdul Kadir #ASEAN #Jakarta #sesi pemukiman
;