Zambia teruskan pelan kontroversi bunuh 2,000 ekor badak air. Ini sebabnya...
Agensi
Oktober 23, 2018 10:46 MYT
Oktober 23, 2018 10:46 MYT
Zambia mahu meneruskan semula perancangannya untuk ‘membunuh’ sehingga 2,000 ekor badak air dalam tempoh masa lima tahun mendatang, lapor Reuters.
Keputusan kontroversi itu pernah ditangguh pada dua tahun lalu selepas protes oleh aktivis hidupan liar.
Menteri Pelancongan, Charles Banda berkata, populasi badak air di negara itu tidak dapat disokong dengan keadaan sumber dan paras air di habitatnya, Sungai Luangwa.
Pada masa yang sama, cadangan untuk memindahkan mamalia tersebut ke lokasi lain di negara selatan Afrika itu, bakal berdepan kos yang sangat tinggi.
Atas alasan itulah pihak kerajaan Zambia mahu meneruskan perancangan untuk mengawal populasi badak air di timur negara itu.
"Taman Negara Luangwa Selatan mempunyai populasi badak air yang lebih daripada 13,000 ekor, sedangkan tempat itu hanya ideal untuk dihuni sebanyak 5,000 ekor,” ujar Banda.
Banda memberi alasan tambahan, dengan bilangan yang ada sekarang ini, ekosistem bakal terancam.
"Kerja memindahkan badak air itu ke lokasi air lain sangat mahal. Buat masa ini, pilihan yang ada adalah dengan mengurangkan populasi itu (dibunuh),” ujarnya.
Kempen kebajikan hidupan liar British, Born Free, telah membantah keputusan itu pada Jun 2016, dengan menyifatkannya sebagai alasan untuk ‘menghalalkan’ pemburuan secara rekreasi.
Pada Isnin, Born Free menerusi laman web rasminya mendakwa Zambia gagal menunjukkan bukti saintifik bahawa berlaku populasi berlebihan di Sungai Luangwa.