YouTube perkenal ciri padam lagu langgar hak cipta tanpa ganggu dialog

Amanz
Julai 6, 2024 13:12 MYT
Erase Song telah dikemas kini oleh YouTube dengan ciri baharu yang akan hanya memadam lagu latar yang melanggar hak cipta. -Amanz
ANTARA cabaran menjadi penghasil kandungan di YouTube ialah mencari lagu yang sesuai sebagai muzik latar.
Kadang kala tanpa disedari muzik yang disangka boleh digunakan secara percuma sebenarnya mempunyai pemegang hak cipta.
Akibatnya pengiklanan tidak boleh dilakukan selagi muzik ini tidak dibuang.
Oleh itu ciri Erase Song diperkenalkan dengan bahagian yang mengandungi muzik yang melanggar hak cipta boleh dibisukan.
Namun begitu ia juga menyebabkan sebarang dialog yang juga ada dalam trek audio turut dibisukan dan video akan menjadi canggung untuk ditonton.
Erase Song telah dikemas kini oleh YouTube dengan ciri baharu yang akan hanya memadam lagu latar yang melanggar hak cipta.
Dengan bantuan kecerdasan buatan (AI), dialog di dalam video akan dikekalkan.
Masih terdapat ciri memadam terus bahagian video yang bermasalah, menggantikan muzik atau membisukan sahaja audio.
Ciri akan diberikan kepada pengguna menerusi YouTube Studio di desktop dan peranti mudah alih secara berperingkat dalam masa beberapa minggu lagi. -Amanz
#YouTube #Lagu langgar Hak Cipta #Erase Song #tanpa ganggu dialog
;