Yoon Suk Yeol ikrar lakukan yang terbaik untuk Korea 'hingga ke penamat'
Astro Awani
Disember 15, 2024 08:00 MYT
Disember 15, 2024 08:00 MYT
SEOUL: Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol berikrar akan terus melakukan yang terbaik untuk negaranya hingga ke penamat.
Ucapan awam itu dirakam di kediamannya di Seoul dan disiarkan selepas Parlimen meluluskan usul pemecatan terhadapnya pada Sabtu berikutan pelaksanaan undang-undang tentera yang gagal.
Suk Yeol membuat janji itu ketika berdepan penggantungan tugas selepas Parlimen mengundi untuk mendakwa beliau.
Suk Yeol turut menyeru penjawat awam agar kekal tabah menjalankan tugas di bawah pimpinan Perdana Menteri Han Duck-Soo, yang bakal bertindak sebagai pemangku Presiden.
Beliau juga menggesa komuniti politik untuk mengelak daripada amalan yang melulu dan bersifat konfrontasi serta berusaha meningkatkan budaya politik negara.
Sementara itu, Duck Soo pula menjanjikan usaha dan kekuatannya untuk mentadbir negara itu bagi membolehkan ia kembali stabil.
Katanya, kekuatan dan sokongan daripada pelbagai pihak perlu untuk Korea Selatan menempuh masa sukar seperti yang berlaku sekarang.