Yoon gagal hadir kali ketiga bagi soal siasat

Bernama
Disember 29, 2024 17:14 MYT
CIO dijangka memohon waran tangkap terhadap Yoon Suk Yeol, langkah yang belum pernah dilakukan terhadap seorang presiden yang masih berkhidmat. - Reuters
SEOUL: Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Ahad sekali lagi gagal hadir untuk sesi soal siasat dalam penyiasatan terhadap kegagalannya melaksanakan pengisytiharan undang-undang tentera, sekali gus meningkatkan kemungkinan badan penyiasat memohon waran tangkap terhadapnya, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) yang mengendalikan kes itu memaklumkan bahawa Yoon tidak hadir di pejabatnya di Gwacheon pada 10 pagi seperti yang diminta oleh CIO.
Ini menandakan kali ketiga Yoon tidak mengendahkan arahan untuk hadir.
Beliau sebelum ini mengabaikan dua arahan serupa pada 18 Disember dan Hari Krismas.
CIO dijangka memohon waran tangkap terhadap presiden itu, langkah yang dianggap belum pernah berlaku terhadap seorang presiden yang masih berkhidmat di Korea Selatan.
Pada 7 Disember, empat hari selepas percubaan melaksanakan undang-undang tentera gagal, Yoon berucap bahawa beliau tidak akan mengelak daripada tanggungjawab undang-undang dan politik berhubung tindakannya.
Namun begitu, keputusan sama ada mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap masih belum dapat dipastikan.
Ketua CIO, Oh Dong-woon berkata agensi itu akan menghantar dokumen rasmi untuk memberi amaran kepada pejabat presiden sekiranya perkhidmatan keselamatan presiden menghalang prosiding penangkapan Yoon.
-- BERNAMA
#Yoon Suk Yeol #Presiden Korea Selatan #soal siasat #waran tangkap #politik korea selatan
;