Yingluck Shinawatra hadiri perbicaraan kontroversi subsidi beras

Agensi
Ogos 5, 2016 13:48 MYT
Yingluck berusaha membersihkan namanya dari terpalit isu skandal rasuah. - Gambar fail
Bekas perdana menteri Thailand Yingluck Shinawatra hadir di mahkamah pada Jumaat untuk memberi kenyataan pembukaan dalam perbicaraan berkaitan tuduhan penglibatannya dalam skandal salah urus skim subsidi beras bernilai berbilion dolar.
Perdana menteri wanita pertama Thailand itu diperintah melepaskan jawatannya beberapa hari sebelum kuasa tentera mengambil alih pentadbiran pada Mei 2014.
Skim yang menjadi kempen politik Yingluck sehingga membawanya ke jawatan perdana menteri pada 2011 itu, berakhir dengan siri protes jalanan besar-besaran sehingga mencetus campur tangan tentera.
"Saya yakin dalam kenyataan saya hari ini. Saya akan lakukan yang terbaik untuk membuktikan saya tidak bersalah seperti yang dituduh,” ujar Yingluck di hadapan ratusan penyokongnya di Mahkamah TInggi Bangkok.
Yingluck didakwa melakukan kesalahan urus tadbir dalam pelaksanaan program beras itu, yang merupakan polisi populis warisan abangnya iaitu Thaksin Shinawatra.
Thaksin sebagai bekas perdana menteri Thailand yang digulingkan pada tahun 2006.
Selama lebih sedekad, Thaksin dikatakan menjadi punca konflik rakyat Thai. Dia tinggal dalam buangan untuk mengelak hukuman penjara atas dakwaan penyalahgunaan kuasa. Thaksin bagaimanapun menyatakan tindakan ke atasnya itu bermotifkan politik.
Keluarga Shinawatra menerima sokongan kuat dari rakyat golongan bawahan di utara dan timur laut Thailand, sementara musuh politiknya termasuk tentera serta rakyat di Bangkok dan di bahagian selatan menuduh mereka terlibat dengan rasuah.
#kes mahkamah #politik thailand #skim subsidi beras #Thaksin Shinawatra #Yingluck Shinawatra
;