Yingluck Shinawatra didakwa atas kes rasuah subsidi beras

AFP
Februari 19, 2015 16:45 MYT
Yingluck bagaimanapun masih mempertahankan bahawa skim beras tersebut merupakan subsisdi yang perlu untuk membantu para petani miskin. - Gambar fail
Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra hari ini didakwa secara rasmi atas tuduhan rasuah berhubung skim subsidi beras.
Perkembangan tersebut merupakan tindakan undang-undang terbaharu terhadapnya yang memungkinkan dia dipenjara sehingga sedekad jika didapati bersalah.
Pemerintahan junta Thailand juga bercadang untuk menyaman bekas pemimpin wanita tertinggi negara itu berjumlah AS$18 bilion (RM64.9 bilion) sebagai pampasan akibat pengenalan skim tersebut.
Pendakwaan itu bermula selepas Yingluck, adik kepada jutawan dan juga bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, dicabar bulan lalu oleh junta dalam Dewan Perundangan Kebangsaan (NLA).
"Hari ini kami telah mendakwa Yingluck atas kelalaian tugas hingga mencetuskan kerugian besar dalam skim beras,” kata ketua pengarah jabatan perundangan khas, Chutichai Sakhakorn.
Mahkamah Tinggi akan menentukan sama ada untuk menerima kes itu pada 19 Mac.
Akibat pendakwaan yang dikenakan terhadapnya, Yingluck bukan sahaja diharamkan daripada bergiat dalam politik selama lima tahun malah dilarang untuk ke luar negara.
Yingluck yang tidak hadir ke sesi pendakwaan tersebut dan hanya diwakili peguamnya Norawit Larlaeng, berkata bahawa dia tidak bercadang untuk meninggalkan Thailand walaupun khabar angin mengenai perkara itu kuat disebarkan.
Bagaimanapun, Yingluck masih mempertahankan bahawa skim beras tersebut merupakan subsisdi yang perlu untuk membantu para petani miskin yang selama ini menerima keuntungan kecil daripada kerajaan.
Para petani telah dibayar harga dua kali ganda daripada kadar pasaran. Meskipun tindakan itu popular dalam kalangan pengundi di kawasan luar bandar di utara dan timur laut Thailand, ia tetap menjejaskan ekonomi kerana berlaku lambakan bekalan.
Menteri Kewangan, Sommai Phasee memberitahu kementeriannya telah menerima surat daripada agensi rasuah kebangsaan yang meminta agar tindakan undang-undang dikenakan terhadap Yingluck atas kerugian berjumlah AS$18 bilion tersebut.
Pemerhati politik memberitahu pendakwaan berkenaan adalah percubaan mutakhir untuk melenyapkan pengaruh politik keluarga Shinawatra.
Sejak pemerintahan tentera mengambil alih kuasa, banyak tekanan dikenakan seperti larangan mengadakan perhimpunan politik, mengekang kebebasan media, penahanan dan pendakwaan pihak yang bertentangan ideologi.
#Junta #Rasuah #shinawatra #skim beras #Thailand #Yingluck
;