Yingluck Shinawatra dibicara hari ini atas tuduhan rasuah

AFP
Januari 15, 2016 09:45 MYT
Yingluck berdepan hukuman penjara 10 tahun jika sabit kesalahan. - Gambar fail
Mantan Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra akan muncul di mahkamah hari ini pada hari pertama perbicaraan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.
Sesetengah para pengkritik menyifatkan perkembangan itu sebagai langkah susulan kumpulan jeneral kerajaan dalam usaha melumpuhkan kuasa pemimpin popular tersebut selain mengukuhkan dominasi politik mereka.
Yingluck berdepan hukuman penjara selama sedekad jika disabitkan kesalahan dalam pendakwaan berkaitan skim subsidi beras yang menelan belanja besar sewaktu pentadbirannya.
Perdana menteri wanita pertama Thailand itu digulingkan beberapa hari sebelum ketua tentera Prayut Chan-O-Cha mengambil alih tampuk pemerintahan pada Mei 2014, sekali gus mencetuskan demonstrasi jalanan antara penyokong-penyokong politik masing-masing.
Di bawah undang-undang junta, Yingluck telahpun berdepan pelbagai cabaran dan halangan yang dilihat bermotif politik oleh penyokongnya. Antaranya adalah penggubal undang-undang lantikan junta yang mahu mengharamkan Yingluck menyertai politik selama lima tahun.
Pengharaman itu dan perbicaraan yang berlangsung hari ini akan menumpukan pada pertuduhan bahawa Yingluck gagal mengawal amalan rasuah dalam program subsidi berasnya.
Program yang menelan kos berbilion dollar itu dilihat sebagai tindakan populis untuk membeli sokongan khususnya dari rakyat luar bandar di wilayah utara dan timur laut.
Namun Yingluck mempertahankan polisi itu dengan mengatakan ia adalah usaha untuk membebaskan golongan petani daripada kemiskinan selepas berdekad-dekad dipinggirkan oleh kumpulan elit Bangkok.
Para analisis berkata perbicaraan rasuah Yingluck itu digunakan untuk ‘menghalalkan’ rampasan kuasa selain meningkatkan imej jeneral-jeneral junta sebagai penentang rasuah.
“Pihak junta terus mencari tapak kukuh dan kes Yingluck membolehkan mereka berbuat demikian,” ujar ahli akademik dan pengkritik Pavin Chachavalpongpun, yang telah meninggalkan Thailand sejurus peristiwa rampasan kuasa tersebut.
#Junta #perbicaraan #Rasuah #Subsidi Beras #Yingluck Shinawatra
;