Yang luar biasa: Jepun, Tsutaya Books dan Shinzo Abe

Dr Azlinariah Abdullah
Ogos 10, 2022 14:03 MYT
Jepun, sebuah negara maju dari segi sejarah dan budaya, memiliki peradaban ilmu yang tinggi, kerap dilanda gempa dan bencana alam serta malapetaka, menjadikannya luar biasa sekali gus sentiasa jadi bualan di Malaysia. - Reuters
KUALA LUMPUR: DALAM tempoh sebulan lebih ini, kita banyak menghalakan perhatian kepada Jepun. Radar tumpuan yang disorotkan tentang Jepun itu datangnya dalam pelbagai isu. Ada Bon Odori, juga kepada reaksi balas negara matahari terbit itu berhubung pasca-pandemik, itu sebagai contoh.
Tidak kurang, kelahiran gedung buku terbesar yang menjadi ikon di Pavilion Bukit Jalil, Tsutaya Book, milik Jepun, kita bicarakan sampai hari ini. Paling banyak dibualkan, dianalisis, dirujuk perkaitannya di sana sini, kematian Shinzo Abe, bekas Perdana Menteri Jepun.
Ya, Jepun banyak jadi hidangan perbualan ramai pihak di Malaysia dalam tempoh sebulan lebih ini. Walaupun dilitupi hal sejarah agak bosan, penuh mengenai peradaban tinggi intelektual dan disulami tangisan tamatnya nadi insan, cerita seputar Jepun ini masih enak sebagai santapan cakapan kita semua - di Malaysia.
Malaysia kongsi sejarah yang panjang dengan Jepun. Jangan lupa , kita mungkin senada, yang sejarah, kita pernah mendengar dan membaca kisah-kisah lapar pada musim Perang Jepun (1941-1945) dari keluarga. Dari mulut ke mulut, dimulai cerita atas cerita, kita terima naratif bagaimana semasa zaman Jepun beras tidak ada. Ada yang mati kebuluran. Ramai makan ubi kayu dan keledek.
Semasa Perang Jepun itu, yang buruk tentunya Jepun, kalau Jepun, tentulah buruk. Mana tidaknya, menakluk Tanah Melayu, askarnya juga - ketika itu - tidak bermoral, rogol anak gadis, bukan di Malaysia sahaja, tetapi didakwa sedemikian di Korea dan China juga.
Itu juga ada dalam buku sejarah, yang cuba padam dan dipadamkan tetapi gagal kerana sejarah tetap sejarah, cerminan masa lalu untuk sandaran hari akan datang. Dan, tidak menghairankan, kita bercakap-cakap lagi sejarah tentang Jepun itu, hari ini.
Kerana panjangnya Jepun-Malaysia itu dalam berkongsi sejarah, di sebalik apa yang berlaku semasa Perang Jepun, pentadbiran di Malaysia pascamerdeka memandang kagum kepesatan pembangunan dan kehebatan ilmu penghuni Jepun.
Sekadar contoh, adanya Dasar Pandang ke Timur, yang banyak memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, Malaysia dan Jepun. Atas dasar mengenang budi kepada Jepun, kita segera hantar bantuan, walaupun kadangkala, tidak relevan sama sekali, memberikan baju tidur nipis masih baharu, semasa musim sejuk membeku untuk mangsa tsunami. Tidak pelik, kita gemar membicarakan hal Jepun lagi dan lagi.
Kesan tsunami, gempa dan nuklear, seperti hilang harta benda, orang tersayang dan sebagainya cukup menyentuh jiwa, walaupun di sini, kita dilindungi daripada bencana-bencana seperti itu. Atas dasar ikatan kemanusiaan, kita turut terpanggil untuk ‘terlibat’ sama berkongsi rasa dan duka mereka mengharungi taufan, gempa bumi, tsunami atau banjir buruk. Jepun, antara negara dunia yang banyak berlaku bencana alam terburuk.
Apabila berlakunya bencana, lebih-lebih lagi yang meragut banyak nyawa dan harta benda, ia menjadi lebih diingati. Itu sebabnya tsunami di Jepun pada 2011 kekal menjadi ingatan kita semua - jadi bualan sampai hari ini di Malaysia, tanpa terkecuali.
Begitu juga, sanjungan kepada budaya Jepun ini. Budaya membaca masyarakatnya luar biasa. Di dalam kereta api laju, di taman terbuka dan perpustakaan sekolah, semua dilihat menekuni objek tidak bernyawa tapi memberi nyawa kepada minda dan rohani, memandai daya fikir peminatnya. Itu juga, kita perkatakan dan bibir turut setuju "Wah, ini luar biasa, luar biasanya Jepun."
Pendek kata, Jepun, negara maju. Deras bergerak, semua bergerak dengan satu ikatan, cangkuk yang satu - peradaban ilmu melalui tabiat membaca. Dan, ia ditandai dengan adanya koleksi buku di kedai buku. Dan apabila peradaban ini dipindahkan dari Jepun untuk ditanam dalam pertiwi Malaysia - Tsutaya Books di Bukit Jalil, lebih khusus, cakap-cakap mengenai Jepun jadi subur untuk dituturkan kita semua, berubah gegar dari mulut ke mulut.
Itulah Jepun, sebuah negara besar. Cakap mengenainya juga serata lebar. Ralatnya juga ada, kerana ujiannya besar. Ada getar gara-gara bom dan perang , ralat angkara bencara malapetaka tidak kurang. Begitu juga budaya dan kesihatan mental rakyatnya, tidak sedikit jadi bualan.
Kedai buku gaya hidup
"Tsutaya Books masuk ke Malaysia dengan identiti kedai buku gaya hidup. Mereka membawa perlambangan meraikan kreativiti dalam kehidupan. Apabila kita memasuki kedai buku fizikal yang berada di Pavilion Bukit Jalil, kita dipersembahkan dengan gandingan buku dan produk-produk lain yang melengkapi kitar hidup seseorang. Jika ada buku berkaitan kopi, maka ada cawan dan tekonya. Ia datang bersama sebagai satu persembahan kehidupan."
Itu kata Zamri Mohamad saat saya tanyakan pandangannya tentang Tsutaya Books. Zamri ialah penulis, editor buku dan penceramah penulisan.
Dalam perbincangan kemudiannya, Zamri, saya ajak menjelaskan kenyataan Tsutaya Books datang dengan idea gaya hidup. "Maknanya?" Saya samar-samar apa kaitan kehadiran Tsutaya Books dari Jepun ini kepada khalayak di Malaysia.
"Masyarakat kita mempunyai keterbukaan terhadap perkara ini dan bersedia menerimanya dalam skop bersama dan tidak bersama dalam dunia pembacaan," kata Zamri, juga rakan di Facebook, memahamkan saya.
Saya ada mengunjungi Tsutaya Books dua kali dalam bulan Julai, selepas ia secara rasmi dibuka 7 Julai lalu. Pertama, saya pastinya kagum dengan koleksi buku, ada lebih 200,000 judul kesemuanya, yang dibawa menjadi keuntungan kepada nilai kandungan buat pembaca yang mahu membina koleksi judul bersifat pelbagai perspektif.
Cuma, pada pemikiran saya kenapa , seolah-olah "kamikaze" ia dibuka ketika mana banyak toko buku lain - yang sederhana dan kecil, gulung tikar kerana tewas melawan siri sekatan akibat pandemik COVID-19.
Saya jadi teringat kepada apa yang saya baca dalam buku Ada apa dengan buku tulisan Sharom TM Sulaiman dan Suriati Shamsuddin (2006) di bawah tajuk Wajah "Muram" Industri Perbukuan Jepun, halaman 97, yang mengaitkan bagaimana perubahan budaya pembacaan tradisonal yang dibunuh permainan "games dan digital" .
Bahawa, dalam buku ini dibentangkan ada turun naik industri perbukuan di Jepun. Jadi saya mengaitkan dengan hadirnya Tsutaya Books ini di ketika dunia berlawan dengan digital; pasca COVID-19 yang memancung hayat gedung penuh buku, pusat mencerdaskan manusia.
"Kamikaze?" Saya rasa tidak, Saya fikir lebih kepada pelaksanaan keputusan bisnes dengan pengurusan risiko mampu tanggung oleh pihak Tsutaya Books, kata Zamri lagi. Saya kemudian kaitkan, Kinokuniya sudah ada, kenapa perlu satu lagi toko buku besar, dari Jepun juga, di ketika mana kedai buku yang kurang besar tutup operasi disebabkan kalah kepada kesan akibat sekatan virus halimunan, COVID-19.
"Bisnes adalah percaturan jadi dan tak menjadi. Pelaburan yang mahu menggandakan keuntungan datang bersama kesediaan jumlah yang bersedia hilang dalam keputusan itu.
"Perencanaan mereka menawarkan pembukaan kedai buku yang sama di negeri-negeri melalui francais sebagai pelan jangka panjang juga adalah satu cara membuka peluang dan proses mengurus risiko," ini ketegasan Zamri, ketika soalan diajukan sama ada tindakan Tsutaya Book di Bukit Jalil dianggap "kamikaze" atau sebaliknya.
Pesan Zamri, Tsutaya Books jangan dianggap sebagai kedai buku semata-mata. Ia tetap mempunyai perencanaan tersendiri dalam membawa pembudayaan sesebuah negara. Ini dapat dibaca melalui visi dan matlamat yang disebut dalam laman web rasminya, iaitu mempertemukan dan pembudayaan (connect and cultivate culture) dan juga visi, menjadi syarikat perencana nombor satu di dunia.
"Sebagai penulis dan penceramah dalam bidang pembangunan penulis baharu, Tsutaya Books, Pavilion Bukit Jalil adalah berita baik kepada komuniti penulis, "ujarnya.
Semasa berada di dalam gedung penuh ilmu itu dalam dua kali lawatan, saya boleh sependapat dengan Zamri tentang Jepun dan menjual budayanya di Tsutaya Books. Dan, ini, lima sebabnya:
Pertama, ia bukan sahaja menawarkan tawaran buku yang besar, tetapi ia menawarkan pengalaman memilih' bahan bacaan yang unik ketika berada dalam kedai buku itu.
Kedua, bukan pembaca diraikan dengan pengenalan rantaian buku yang datang bersama bentuk lain, cenderamata, kraf dan peralatan yang sesuai dengan tema yang ditonjolkan.
Ketiga, jika mahu lari sebentar dari rutin kehidupan yang sibuk dan kegilaan bandaraya, secawan teh hijau panas di kafe dalam kedai buku berkenaan akan memberikan ruang sunyi untuk mendapat semula ketenangan pada hari tersebut.
Keempat, kanak-kanak dan ibu diraikan seawal memasuki premis. Dunia khusus untuk kanak-kanak bergembira melihat warna-warni koleksi buku serta ruang untuk mereka bergerak bebas beraktiviti bersama keluarga.
Kelima, tidak mengapa jika enggan mencari buku, masuk ke kedai buku Tsutaya Books dengan bayangan ia adalalah galeri visual terbesar. Hayati warna-warni sampul buku serta hasil seni yang dipamerkan di sana.
Dua kali melayan khayal, dua kali saya keluar dari gedung itu dengan beberapa naskhah buku dan segunung kekaguman, "Wah luar biasa Tsutaya Books, sungguh luar biasa budaya strategi Jepun."
Kematian Shinzo Abe
Begitu banyak kehilangan berlaku pada bulan ketujuh dalam tahun 2022. Di negara kita sendiri, ada tokoh akademik pergi tidak kembali, terdapat selebriti tutup mata, malah, nyawa melayang dalam kalangan yang lain juga tidak kurang.
Di Jepun begitu juga. Tetapi kematian yang satu ini, luar biasa. Perginya, Shinzo Abe, bekas Perdana Menteri Jepun, nasib hayat akhirnya ditentukan rakyatnya sendiri. Degup jantung terhenti akibat senapang buatan sendiri, rakyat yang sakit hati, dendam masih ada lagi walaupun sejarah kekal sejarah.
Jarang sekali benda sebegini gila terjadi di Jepun. Ini yang luar biasa tentang Jepun. Segarkan ingatan kepada apa yang berlaku pada 2014. Ini ada kaitan dengan mudah miliki senjata dan mencabut nyawa manusia menggunakannya. Pada tahun 2014, seramai 33,599 orang mati ditembak di Amerika Syarikat. Namun, pada tahun yang sama, hanya enam orang mati ditembak di Jepun.
Begitu juga, pada tahun 2021, datanya hampir sama. Ingat, Jepun dengan Amerika Syarikat amat jauh bezanya. Jepun mengharamkan pemilikan senjata. Amerika Syarikat terbuka memiliki alat membunuh itu.
"Sesiapa yang ingin membeli senjata perlu menjalani ujian mental yang sangat ketat,'' kata JD Masri, seorang jurutera lulusan negara matahari terbit, sebelum menambah, itu pun, kalau nasib baik, dapat beli senapang patah atau senapang angin sahaja.
"Sebab itu ramai yang mati kerana bunuh diri di Jepun, amat sedikit jalan mati orang Jepun di jalan raya melalui lorong kemalangan,'' tambah JD Masri.
Orang yang membunuh Abe ialah Tetsuya Yamagami. Dia bukan setakat menjalani ujian saringan mental, tetapi juga seorang pesara tentera laut Jepun, berkhidmat antara tahun 2002 hingga 2005 untuk pihak Maritime Self-Defense Force. Di sini, JD Masri mengaitkannya dengan hujah pro-senjata di Amerika Syarikat yang dianggapnya kurang tepat. Hujah itu antara lain berbunyi : “Guns don’t kill people. People do. We need more mental health awareness.”
Faktanya, Yamagami merupakan seorang pesara tentera. Bermakna, semua kelas mental mesti dijalaninya. Tetapi, itulah luar biasanya Jepun, dan Jepun tetap Jepun. Benda gila seperti seperti membunuh seorang pemimpin disegani masih berlaku di Jepun, sebuah negara yang aman dan tinggi peradabannya.
Motif Yamgami sehingga dia tergamak membunuh juga menyakitkan hati. Hanya kerana sakit hati dan dendam kepada Abe, dia mahu Abe dihapuskan. Dia angkat senjata gara-gara dipicu rasa marah ibunya jatuh muflis disebabkan sering menderma kepada institusi keagamaan yang ada kaitan dengan bapa Abe, dan bukannya Abe secara langsung.
Di sisi lain, dalam keadaan dunia yang semakin terbelah dan kerap kali bergelora, kejadian ini memang satu masalah besar. Dan, Shinzo Abe, bekas Perdana Menteri Jepun, tidak patut dibunuh sebegitu, tidak di sebuah negara luar biasa di banyak segi yang memancing takjub " Wah! Sungguh luar biasa Jepun ya?"
Kembali ke Malaysia, dengan kemajuan makin pesat dinikmati dan bersama komuniti membaca mendaki parasnya, diharap tahap kemanusiaan dan manusiawi masih ditandai toleransi di sebalik berita-berita memancing air mata, pada masa sama amat mengganggu di mana anak dicampak bapa; ibu dikelar anak sendiri dan adik beradik saling membunuh, berpunca daripada masalah kesihatan mental.
Walaupun ini bibit kepada yang luar biasa terjadi di Malaysia, ia masih dalam kawalan kerana kita semua ada sandaran agama, tidak seperti Jepun, yang rata-ratanya berpaksi kepada Shinto serta yang lain pula, tiada agama.
Di sebalik itu semua, kita wajar khuatir, kita mesti bimbang dan waspada, kalau-kalau apa yang berlaku di Jepun itu terjadi di sini... dan harapnya tidak.

* Azlinariah Abdullah ialah Editor Astro AWANI dan pernah menghasilkan dokumentari tentang Jepun pascatsunami "Bahasa Derita Iwate" pada tahun 2017.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#Jepun #Shinzo Abe #tsutaya books #gaya hidup
;