Yaman cadang anjur persidangan penderma untuk bangunkan semula negara
Bernama
Jun 13, 2022 12:59 MYT
Jun 13, 2022 12:59 MYT
ISTANBUL: Ketua Majlis Pimpinan Presiden Yaman, Rashad Al-Alimi, pada Ahad menggesa diadakan persidangan penderma untuk membina semula negara yang dilanda perang itu, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Kami berusaha untuk mengatur pertemuan Arab dan antarabangsa untuk membina semula Yaman dengan penyelarasan menerusi gabungan pimpinan Saudi-Emirat dan Majlis Kerjasama Teluk," kata Al-Alimi dalam ucapan di Liga Arab yang berpangkalan di Kaherah.
Al-Alimi menuduh pemberontak Houthi melanggar gencatan senjata yang diatur Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Yaman dengan menyekat semula jalan raya di kawasan di bawah kawalan mereka.
Pada Jumaat, Al-Alimi memulakan lawatan rasmi ke Mesir dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Abdel Fattah al-Sisi dan Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul Gheit.
Pada 2 Jun, puak-puak Yaman yang berperang bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata tambahan selama dua bulan. Di bawah gencatan senjata, yang pertama kali dicapai pada 2 April, semua operasi ketenteraan dihentikan. Perjanjian itu juga membenarkan operasi penerbangan komersial dari Lapangan Terbang Sanaa yang dikuasai pemberontak di ibu negara Yaman.
Yaman dilanda keganasan dan ketidakstabilan sejak September 2014, apabila pemberontak Houthi yang bersekutu dengan Iran menawan sebahagian besar negara itu, termasuk ibu kota Sanaa.
Gabungan pimpinan Arab Saudi memasuki perang pada awal 2015 untuk memulihkan kerajaan Yaman berkuasa. Konflik selama lapan tahun telah mencetuskan satu daripada krisis kemanusiaan yang paling teruk di dunia, dengan berjuta-juta orang menderita kelaparan.
-- BERNAMA