AS yakin Iran tidak akan mulakan semula program nuklear

Astro Awani
November 5, 2018 09:15 MYT
Pompeo berkata, pengecualian yang diberikan kepada lapan negara untuk mengimport minyak dari Iran akan dilanjutkan kepada enam bulan. - Gambar fail
Amerika Syarikat yakin Iran tidak akan memulakan semula program nuklearnya susulan sekatan yang dikenakan berkuatkuasa Isnin.
Setiausaha Negara Mike Pompeo menjelaskan pada Ahad, sekatan yang dikenakan akan cukup memberi kesan terhadap ekonomi republik itu.
"Sekatan yang dikenakan adalah yang paling ketat pernah dilaksanakan. Ia mempunyai satu tujuan, mengelakkan negara itu, yang merupakan penaja terbesar pengganas, melaksanakan perkara yang mereka mahu laksanakan, di Eropah.
"Sekatan ini, sekatan-sekatan sudah memberikan impak besar. Kami sudah mengurangkan eksport minyak Iran kepada lebih sejuta tong setiap hari. Jumlah itu akan dikurangkan lagi.
"Beberapa negara telah pun mengurangkan eksport mereka dan memerlukan masa untuk mengurangkannya sepenuhnya," katanya kepada Fox News Sunday, mengulas desakan blok konservatif yang mahu tindakan lebih tegas dikenakan ke atas Iran, selain sekatan.
Pompeo juga memaklumkan, pengecualian yang diberikan kepada lapan negara untuk mengimport minyak dari Iran akan dilanjutkan kepada enam bulan.
Bagaimanapun, negara yang menerima pengecualian itu tidak didedahkan.
Tegas beliau, di sebalik pengecualian yang dibuat, sekatan itu tetap akan memberi impak besar kepada Iran.
Sekatan itu katanya bertujuan menjinakkan tingkah laku Iran, terutamanya tindakan mereka menunjukkan sokongan kepada kumpulan yang dilabel sebagai pengganas.
#Amerika Syarikat #ekonomi #Iran #Mike Pompeo #minyak #nuklear #pengganas
;