Yahya Sinwar dipilih ketua politik Hamas yang baharu

Astro Awani
Ogos 7, 2024 00:30 MYT
Yahya merupakan arkitek serangan ke atas Israel sejak beberapa dekad lalu. - Foto X/Hen Mazzig
GAZA: Hamas menamakan Yahya Sinwar sebagai Ketua Biro Politik yang baharu, bagi menggantikan Ismail Haniyeh yang dibunuh di Tehran minggu lalu.
Yahya merupakan arkitek serangan ke atas Israel sejak beberapa dekad lalu.
Yahya, yang hidup dalam persembunyian di Gaza sejak sekian lama, menafikan cubaan Israel untuk membunuhnya sejak perang bermula Oktober tahun lalu.
Pengumuman mengenai pelantikan beliau disambut dengan pelancaran roket dari Gaza oleh kumpulan pejuang yang masih teguh menentang Zionis.
Hamas dan Iran telah menuduh Israel membunuh Ismail, namun Tel Aviv tidak mengesahkan mahupun menafikan penglibatannya.
Seorang pegawai kanan Hamas Sami Abu Zuhri berkata: "Pemilihan Sinwar sebagai pemimpin Hamas menghantar mesej yang signifikan kepada musuh (Israel) dan sekutunya."
Yahya, yang menghabiskan separuh daripada kehidupan dewasanya di penjara Israel, adalah pemimpin Hamas paling berkuasa yang masih hidup selepas pembunuhan Ismail.
Dilahirkan di kem pelarian di selatan bandar Gaza, Khan Younis, Yahya, 61, dipilih sebagai pemimpin Hamas di Gaza pada 2017, selepas mencipta reputasi sebagai pejuang tegar dan musuh utama Israel.
Beliau sebelum ini merupakan ketua kumpulan keselamatan Al-Majd yang menjejaki, membunuh, dan menghukum rakyat Palestin yang dituduh bersekongkol dengan perkhidmatan rahsia Israel sebelum beliau dipenjarakan.
#Yahya Sinwar #Hamas #Ketua Biro Politik #Israel