Xinjiang Police File: Ribuan bukti, gambar tahanan etnik Uyghur didedahkan kepada dunia
Agensi
Mei 27, 2022 21:49 MYT
Mei 27, 2022 21:49 MYT
PENINDASAN terhadap etnik Uyghur di China memasuki episod baharu yang mengejutkan apabila ribuan gambar kem tahanan etnik tersebut di Xinjiang tersebar baru-baru ini.
Fail tersebut, yang dinamakan “Xinjiang Police File” diperoleh selepas penggodam berjaya memasuki pangkalan data polis di Xinjiang dan kemudian menyerahkan semua bukti tersebut kepada penyelidik dan aktivis dari Amerika Syarikat, Dr Adrian Zenz.
Terdapat banyak bukti ditemui dalam fail tersebut seperti dokumen, gambar, termasuk ucapan daripada pegawai yang bertanggungjawab mewujudkan ‘kem pendidikan semula’ itu yang juga disebut sebagai pusat latihan vokasional.
Mengejutkan, fail itu juga mengandungi gambar lebih daripada 2,800 tahanan dengan 15 daripadanya merupakan kanak-kanak bawah umur.
“Fail-fail ini, kerana ia diperoleh secara langsung dengan menggodam komputer dan pangkalan data polis di Xinjiang, ia buat pertama kalinya memberi kami maklumat secara langsung berhubung operasi polis di dalam kem pendidikan semula itu.
“Ia termasuk imej yang diambil semasa latihan polis, latihan keselamatan di kem ini, ucapan diberikan Chen Quanguo (Ketua Parti Komunis di Xinjiang) dan pegawai lain.
“Mereka hanya bercakap secara langsung tentang sikap dan ancaman yang mereka lihat daripada Uyghur, dan bagaimana Uyghur perlu ditangkap, dan bagaimana kem itu perlu dipertahankan," kata Zenz dalam video yang memperkenalkan fail tersebut.
Tambah beliau, pemimpin dunia perlu secara langsung memberi tekanan kepada kepimpinan China, termasuk Presidennya, Xi Jinping.
Ini kerana, Zenz mendakwa, Xi Jinping sendiri dan kerajaan memantau dengan teliti apa yang berlaku di Xinjiang malah mereka tahu butiran tahanan dan fakta bahawa kem tersebut semakin sesak.
“Bukti baharu benar-benar menunjukkan pendidikan semula atau apa yang dipanggil "latihan vokasional" di Xinjiang tidak ada kaitan dengan peningkatan kemiskinan, tiada kaitan dengan membantu orang ramai mendapatkan pekerjaan.
“Ia hanya mengenai “brain wash” yang kejam, ia mengenai meletakkan mereka dalam tempat seperti penjara, kem yang dikawal oleh polis bersenjata lengkap.
“Kami mempunyai bukti, di menara pengawal mereka menggunakan mesingan gred tentera dan senapang penembak curi di menara pengawal dan sangat jelas bahawa ini adalah kempen untuk mengubah pemikiran rakyat, bukannya seperti dikatakan transformasi melalui pendidikan,” ujarnya.
Justeru, berdasarkan bukti baharu itu, Zenz berpendapat terdapat beberapa langkah penting yang perlu diambil pemimpin dunia dalam menangani isu tersebut.