Xinjiang perkasakan pembangunan industri ais dan salji

Bernama
Mac 14, 2022 15:59 MYT
Selain kaya dengan sumber ais dan salji, Xinjiang juga mempunyai sejarah sukan musim sejuk yang panjang serta adat resam etnik istimewa. - Unsplash
BEIJING: Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang China telah menyusun beberapa pelan untuk memperkasakan pembangunan industri sukan dan pelancongan dengan memanfaatkan sumber ais dan saljinya supaya mewujudkan pembangunan bermutu tinggi di wilayah itu.
Antaranya termasuklah Pelan Pembangunan Pelancongan Ais dan Salji Xinjiang, dan Pelan Pembangunan Setara Sukan dan Pelancongan Xinjiang, bertujuan menjadikan wilayah autonomi itu sebagai destinasi sukan serta pelancongan ais dan salji popular di negara ini.
Xinjiang yang kaya dengan sumber ais dan salji kini mempunyai 72 resort ski. Pada masa sama, Xinjiang juga mempunyai sejarah sukan musim sejuk yang panjang, dan keistimewaan adat resam etnik.
Kini, karnival dan pesta ais dan salji, serta kegiatan penangkapan ikan pada musim sejuk telah dipopularkan di seluruh wilayah Xinjiang, sekali gus meningkatkan pendapatan dalam sektor berkenaan.
Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing yang berlangsung pada bulan lepas turut menyaksikan keterlibatan etnik Uygur termasuk upacara menyalakan obor oleh atlet ski rentas desa, Dinigeer Yilamujiang.
Malah, ketika upacara perasmian temasya sukan itu di stadium Sarang Burung pada 4 Februari turut dipaparkan sekeping gambar penduduk di Altay sedang berski pada 12,000 tahun lepas, sekali gus memberi pemahaman kepada dunia mengenai sukan ais dan salji di Xinjiang.
Didorong oleh temasya sukan itu juga, Xinjiang konsisten untuk mengembangkan industri ais dan salji pada tahun-tahun kebelakangan termasuk dari segi pelancongan dan kebudayaan, yang secara tidak langsung mencerminkan peranan penting terhadap pembangunan bermutu tinggi di wilayah berkenaan.
Pada minggu pertama Olimpik Musim Sejuk 2022, jumlah penerimaan pelancong di Xinjiang dicatatkan melebihi 3.6 juta, iaitu pertambahan lebih 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kini, tumpuan adalah kepada prospek untuk mengembangkan lagi industri ais dan salji pasca Olimpik Musim Sejuk 2022.
Presiden Universiti Pertanian Xinjiang, Jiang Ping'an berpendapat bahawa pembangunan industri ais dan salji di wilayah itu memerlukan pembangunan bersepadu serta panduan untuk pelaburan modal.
Pada masa sama, beliau turut menyifatkan pembangunan industri ais dan salji di Xinjiang mempunyai peluang cerah.
"Pihak-pihak terlibat perlu memanfaatkan Olimpik Musim Sejuk sepenuhnya, meneroka laluan baharu secara aktif untuk pembangunan industri ais dan salji, mendorong pembangunan bersepadu 'ais dan salji + pelancongan' dan 'ais dan salji + kebudayaan'.
"Kesan limpahan Olimpik Musim Sejuk Beijing juga perlu digunakan untuk memacu pembangunan bersama industri yang berkaitan," kata Jiang.
-- BERNAMA
#Xinjiang #industri ais #salji #resort ski
;