Xinjiang kini jadi hab penting buat China - Xi Jinping

Bernama
Julai 15, 2022 17:51 MYT
Ketika mengunjungi Zon Pelabuhan Darat Antarabangsa Urumqi pada Selasa, beliau berkata ia seiring dengan pembangunan bersama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI). - REUTERS
BEIJING: Presiden China, Xi Jinping dalam rangka lawatan kerjanya selama dua hari ke Xinjiang menyifatkan Wilayah Autonomi yang majoritinya etnik Uygur kini bukan lagi kawasan terpencil, tetapi merupakan zon dan hab penting.
Ketika mengunjungi Zon Pelabuhan Darat Antarabangsa Urumqi pada Selasa, beliau berkata ia seiring dengan pembangunan bersama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
Menurut Xi, usaha yang telah dilakukan amat signifikan, selain turut mencapai hasil substantif, dan akan mewujudkan masa depan lebih cemerlang.
"Pembangunan adalah asas penting untuk memastikan keadaan aman sentosa dapat terus dipelihara dan dikekalkan di Xinjiang," katanya.
Tujuan lawatan Xi ke zon pelabuhan itu antara lain adalah untuk mengoptimumkan kelebihan Xinjiang, membangunkan dataran tinggi dengan lebih terbuka untuk kawasan pedalaman dan sempadan, menyediakan syarat kondusif bagi memakmurkan rakyat, sekali gus menjadikan Xinjiang lebih maju.
Pada hari kedua lawatan, beliau turut meluangkan masa mengunjungi Komuniti Guyuanxiang di Daerah Tianshan bagi mendekati tentang solidariti dan kemajuan antara kaum.
Komuniti yang wujud pada 2001 itu mempunyai 4,635 orang dari 1,750 keluarga, dengan lebih 95 peratus daripadanya adalah penduduk etnik minoriti, iaitu komuniti perumahan pelbagai kaum yang tipikal.
"Saya sangat mengutamakan usaha-usaha terhadap komuniti perumahan. Kita perlu memahami pemikiran dan kemahuan rakyat di peringkat akar umbi, serta melakukan kerja berdasarkan keperluan mereka," kata Xi.
Pada hari sama, beliau sempat mengunjungi Muzium Wilayah Autonomi Xinjiang dan berpeluang menonton pertunjukan Manas, epik wira etnik Kirgiz selain beramah mesra dengan pewaris Budaya Tidak Ketara Manas.
Xi turut menyifatkan Manas sebagai khazanah milik etnik minoriti dan bangsa China dan ia sepatutnya disemarakkan melalui usaha pemeliharaan, pewarisan dan penyusunan semula dengan baik.
Epik wira itu menceritakan tentang pahlawan Manas beserta anak dan cucunya dalam tujuh generasi yang mengetuai etnik Kirgiz berjuang dengan penceroboh asing, menjunjung tinggi semangat etnik yang berteguh dan bersatu-padu.
-- BERNAMA
#Xi Jinping #etnik Uygur #Xinjiang #Presiden China
;