Xi Jinping terima kunjungan Dmitry Medvedev

Bernama
Disember 22, 2022 16:57 MYT
Xi (kanan) berkata, PKC dan Parti Rusia Bersatu mengadakan pertukaran institusional untuk jangka masa yang panjang. - AP
BEIJING: Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) yang juga Presiden China Xi Jinping menerima kunjungan Pengerusi Parti Rusia Bersatu, Dmitry Medvedev, di sini, pada Rabu.
Menurut Xi, Kongres Kebangsaan ke-20 PKC telah menetapkan misi utama untuk membangunkan China sebagai negara sosialis moden yang kuat secara komprehensif dan mewujudkan kebangkitan gemilang nusa dan bangsa China dengan modenisasi ala China.
"China berkeyakinan penuh untuk menjayakan perjalanan modenisasi ala China, di samping menyediakan lebih banyak peluang kepada kedamaian dan kemakmuran dunia," ujar Xi.
Beliau berkata PKC dan Parti Rusia Bersatu mengadakan pertukaran institusional untuk jangka masa yang panjang.
"Ini menjadi saluran dan platform yang unik bagi mengukuhkan saling percaya politik, mendorong kerjasama sama menang dan memaparkan koordinasi strategik antara China dengan Rusia.
"Ia juga telah menyediakan sokongan yang kuat bagi perkembangan hubungan kedua-dua negara yang mampan untuk jangka masa panjang," kata Xi.
Menyentuh tentang isu Ukraine, Xi berkata China mengambil pendirian dan dasar berasaskan fakta, mempertahankan pendirian yang objektif dan adil, berusaha mendorong rundingan damai.
Justeru, Xi berharap pihak terlibat bersabar dan rasional, mengadakan dialog secara komprehensif serta menangani kebimbangan bersama dalam bidang keselamatan melalui politik.
Medvedev dalam ucapannya pula mengatakan bahawa Parti Rusia Bersatu bersedia meningkatkan pertukaran pengalaman dengan PKC dalam pentadbiran negara, dan melaksanakan konsensus yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara.
Kata beliau pihaknya akan memperkasakan kerjasama dengan China dalam bidang ekonomi, perdagangan, sumber tenaga dan pertanian, bersama-sama melawan tekanan dan tindakan yang tidak adil dari luar, agar mendorong hubungan perkongsian koordinasi strategik komprehensif antara Rusia dan China mencapai kejayaan yang lebih besar.
"Krisis Ukraine mempunyai sebab-sebab tersendiri dan situasinya amat kompleks. Rusia bersedia menyelesaikan masalah itu melalui rundingan damai," kata Medvedev.
-- BERNAMA
#Xi Jinping #Dmitry Medvedev #Rusia #Ukraine
;