Xi Jinping gesa dunia sumbang lebih usaha untuk kedamaian dan pembangunan
Bernama
Julai 5, 2023 18:25 MYT
Julai 5, 2023 18:25 MYT
BEIJING: Presiden China Xi Jinping berkata dunia sedang mengalami transformasi dan pergolakan, perubahan yang tidak pernah terjadi dalam seabad kini berlaku dengan pantas, sementara manusia pula menghadapi cabaran belum pernah berlaku sebelum ini.
Justeru katanya, persoalan tentang perpaduan atau perpecahan; kedamaian atau konflik; kerjasama atau konfrontasi kerap timbul dari semasa ke semasa.
"Jawapan saya seperti berikut: impian rakyat terhadap kehidupan sejahtera menjadi sasaran kita, manakala kedamaian, pembangunan, kerjasama dan sama menang adalah trend perkembangan semasa yang tidak boleh dihalang," kata Xi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada sesi ke-23 Majlis Ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) yang diadakan secara maya pada Selasa.
Xi menyeru supaya negara SCO untuk menyahut cabaran semasa, mengingati misi asal penubuhannya, serta berpegang kepada perpaduan dan penyelarasan bagi menyuntik lebih banyak unsur kepastian serta tenaga positif kepada kedamaian dan pembangunan dunia.
Beliau turut mengemukakan cadangan ke arah usaha itu, antaranya meminta negara SCO berpegang kepada arah yang betul serta meningkatkan perpaduan dan rasa saling percaya, selain menetapkan dasar luar secara bebas bagi memastikan nasib dan masa depan negara ditentukan secara sendiri.
Xi berpandangan bahawa negara SCO perlu berusaha memelihara kedamaian dan keselamatan serantau, dengan platform seperti mekanisme kerjasama dan penyelarasan negara berjiran Afghanistan harus digalakkan untuk membantu pembinaan semula negara itu secara damai.
Antara cadangan lain yang dikemukakan Presiden Xi adalah menumpukan kerjasama pragmatik dan mempercepat pemulihan ekonomi; meningkatkan pertukaran dan saling belajar demi mengeratkan persefahaman dan persahabatan antara rakyat; serta mempraktikkan multilateralisme dan menambah baik tadbir urus global.
Xi menyatakan bahawa rakyat China sedang memperkasakan usaha dalam perjalanan merealisasikan pemodenan ala China.
"China bersedia berkongsi hasil pemodenan China dan menawarkan peluang pembangunan baharu kepada negara-negara di dunia termasuk anggota SCO demi bersama membina dunia yang lebih sejahtera dan indah," kata beliau.
-- BERNAMA
#Xi Jinping
#kerjasama pragmatik
#keselamatan serantau
#Majlis Ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai