Wuquf dan Tasyriq lebih selesa bagi jemaah Haji tahun ini

Razak Chik
September 21, 2013 16:02 MYT
Jemaah Haji akan mendapat sedikit keselesaan tambahan pada musim haji tahun ini dengan penambahbaikkan yang disediakan oleh pihak Arab Saudi di Mashair Haram.
Ini termasuk kemudahan tandas yang lebih, penggunaan lantai bergerak (travelator) dan penyejuk udara semburan kabus.
Ketiga-tiga ciri kemudahan infrastruktur ini terdapat di Mashair Haram dimana terletaknya tiga lokasi tumpuan rukun haji di Arafat, Mina dan Mudzalifah.
Khemah-khemah di Mina pula didirikan dari bahan kalis api sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan dilengkapkan dengan pendingin hawa.
Ibadat wuquf dan mabit di Mudzalifah dan Mina memberi cabaran terbesar kepada para jemaah dari segi ketahanan fizikal.
Kemudahan tandas sememangnya tidak mencukupi untuk menampung jumlah jemaah yang pada tahun lalu berjumlah lebih 3 juta orang.
Bagi mengatasinya, tandas baharu sedang dibina ke paras dua tingkat yang akan membantu menambah kemudahan penting ini.
Kerajaan Arab Saudi telah mengurangkan kuota jemaah setiap negara ke tahap sehingga 20% pada musim haji ini memandangkan pembangunan semula kota Mekah akan memakan masa dua tahun lagi.
Jumlah jemaah dari Arab Saudi juga dikurangkan dengan lebih besar lagi pada kadar 50%.
#jemaah haji #keselesaan tambahan
;