Wujudkan 'Kampung Gila', pasangan suami isteri ajak pesakit mental tinggal bersama

Faida Rahim
Oktober 9, 2022 18:36 MYT
Kediaman mereka yang terletak di Kampung Paringan dijadikan sebagai pusat penempatan bagi golongan istimewa ini. - Foto tangkap layar CNA
JAWA TIMUR: Usaha sepasang suami isteri dari Jawa Timur Indonesia dikenali sebagai Heru Setyawan dan Lamini disifatkan sebagai tindakan luar biasa dan wajar dipuji kerana sanggup menjaga pesakit mental di kediaman mereka secara percuma.
Memetik laporan CNA, sebagai penjaga individu yang berdepan dengan masalah kesihatan mental, Lamini mengakui tidak berdepan dengan masalah besar dalam menjalankan tugas ini sejak 15 tahun lalu.
“Saya sudah biasa dan tidak rasa jijik lakukan kerja ini,” kata wanita berusia 44 tahun ini.
Tambah Lamini, kediaman mereka yang terletak di Kampung Paringan dijadikan sebagai pusat penempatan bagi golongan istimewa ini.
Turut digelar sebagai ‘Kampung Gila’ di daerah Ponorogo, Jawa Timur, pintu rumah pasangan ini sentiasa terbuka menerima pesakit mental untuk tinggal bersama.
“Kami menamakan tempat ini sebagai Margo Widodo yang bermaksud jalan ke arah kebaikan dalam bahasa Jawa. Pasangan ini berharap bahawa rumah dan cara hidup mereka akan membawa kepada hal-hal yang indah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Setyawan mengaku rancangan untuk menerima pesakit mental untuk tinggal bersama adalah ideanya.
Manakala Lamini pada awalnya tidak selesa apabila ada orang tidak dikenali terutama memiliki masalah mental berada di dalam rumah yang sama tetapi seiring masa, dia mula memahami niat murni suaminya dan mula seronok dengan kerjaya sebagai penjaga.
“Segalanya bermula ketika abang kepada suami saya alami kemurungan dan halusinasi. Sebagai anak ketujuh daripada lapan beradik, Setyawan ditugaskan menjaga abangnya kerana adik-beradiknya yang lain mempunyai tanggungjawab lain.
“Memandangkan tiada hospital psikiatri di Ponorogo, Setyawan terpaksa membawa abangnya untuk mendapatkan rawatan di daerah Malang dan Solo di Jawa Tengah. Selama bertahun-tahun, Setyawan memandu selama lima jam dari Solo dan Malang untuk untuk proses rawatan.
“Penduduk di Ponorogo mula meminta bantuan Setyawan untuk menjaga ahli keluarga mereka yang berdepan dengan masalah sama. Ketika itu Setyawan berkhidmat sebagai setiausaha di Kampung Paringan,” katanya.
Pasangan ini berkahwin pada tahun 1998 dan selepas tujuh tahun, Setyawan terpaksa berhenti seketika melakukan kerja sukarelawan atas faktor kesihatan.
Selepas sembuh dia nekad untuk menyambung semula tugas lamanya sebagai penjaga pesakit mental.
“Saya sedar bahawa orang yang mengalami masalah kesihatan mental juga memerlukan perhatian, kasih sayang dan cinta seperti orang normal,” kata Lamini lagi.
#kesihatan mental #Jawa Timur #Heru Setyawan #kampung gila
;