WUF11: Perkongsian komitmen dan pengalaman Malaysia di sesi Meja Bulat Peringkat Menteri

Mohd Dzulfitri Md Yusuf
Jun 28, 2022 00:23 MYT
Malaysia diwakili Reezal Merican pada sesi yang bertemakan 'Polisi Negara Untuk Tranformasi Bandar Bagi Masa Depan Yang Lebih Lestari.
KATOWICE: Malaysia menyertai sesi Meja Bulat di peringkat Menteri di World Urban Forum ke-11 (WUF11) di Katowice, Poland pada Selasa.
Negara diwakili Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada sesi yang bertemakan 'Polisi Negara Untuk Tranformasi Bandar Bagi Masa Depan Yang Lebih Lestari’.
Sesi meja bulat ini turut disertai menteri dan pemimpin tertinggi kerajaan dari 24 negara di seluruh dunia.
Ia merupakan sesi perkongsian idea dan medan perdebatan mengenai perbandaran mapan ke arah melaksanakan Agenda Perbandaran Baharu seiring dengan Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) serta agenda pembangunan global yang lain.
Berikut adalah antara inisiatif dan komitmen Malaysia dalam aspek perbandaran yang dikongsikan dalam sesi meja bulat tersebut.
Malaysia, negara paling ‘urban’di rantau Asia Tenggara
25.7 juta rakyat Malaysia menghuni kawasan perbandaran sejak kemerdekaan negara pada 1957. Ini merupakan perkembangan yang sangat baik untuk sesebuah negara dalam tempoh 50 tahun. Kerajaan memperkenalkan pelbagai strategi termasuk Dasar Perbandaran Negara 2006.
Malaysia SDG Cities Roadmap
Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menetapkan hala tuju dan sasaran SDG di peringkat masing-masing. Ini bakal menjadi indikator untuk memperbaiki kualiti kehidupan dan memberi impak positif dari sudut ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Kemudahan perumahan rakyat
Perumahan mampu milik merupakan program yang dijalankan kerajaan sejak 1970-an. Menjelang tahun 2025 terdapat 500,000 rumah mampu milik dibina.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga menggerakkan Home Ownership Programme (HOPE) bagi melihat ekosistem perumahan secara menyeluruh termasuk dalam aspek penyediaan dan pembiayaan perumahan.
Digitalisasi sebagai ‘game-changer’
Program Jaringan Digital Negara (JENDELA) menyasarkan 40 peratus negara akan dilengkapi kemudahan 5G manakala menjelang akhir 2024, capaian perkhidmatan 5G akan meliputi 80 peratus kawasan.
Rangka Tindakan Ekonomi Kitaran
Kementerian sedang merangka Majlis Ekonomi Kitaran Negara untuk memastikan nilai ekonomi hijau dijana dengan sebaiknya. Ini termasuk menguruskan sisa secara holistik, mewujudkan pasaran hijau dan pelaburan dalam teknologi hijau.
Indeks Daya Huni Malaysia (IDAM)
Indeks Daya Huni Malaysia akan diperkenalkan. Indeks ini akan menjadi kayu pengukur buat semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan untuk merangka program dan polisi yang mengutamakan kesejahteraan komuniti bandar.
#WUF11 #Katowice #world urban forum #meja bulat
;