WTCKL jalin kerjasama dengan WTC Xiamen - Irmohizam

Fareez Azman
April 27, 2023 15:48 MYT
Datuk Seri Irmohizam Ibrahim menandatangani MoU bersama You Yu Hong sempena Perhimpunan Agung Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA) ke-53 di Accra, Ghana pada Khamis. - Gamba/ WTCKL
KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pusat Dagangan Dunia Xiamen hari ini.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim, MoU itu dapat mengalakkan perdagangan, pertukaran ekonomi serta kerjasama pelaburan dan pertukaran teknologi antara kedua-dua organisasi itu.
"Saya amat yakin perkongsian strategik ini akan memberi peluang kepada kedua-dua WTC untuk mengukuhkan keberadaan kami dalam industri acara perniagaan dan turut membantu dalam memudahkan pertumbuhan ekonomi yang lebih luas di kedua-dua negara.
"Melalui inisiatif ini, WTC Xiamen dan WTCKL boleh mengembangkan rangkaian dan perkongsian maklumat dengan lebih mudah dan menyeluruh. Tetapi yang lebih penting, MoU ini akan membolehkan kami memudahkan proses keamanan melalui perdagangan untuk menyatukan komuniti perniagaan,"jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas menandatangani MoU bersama Setiausaha Agung WTC Xiamen, You Yu Hong sempena Perhimpunan Agung Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA) ke-53 di Accra, Ghana pada Khamis.
Dalam acara itu, Irmohizam turut bertemu Naib Presiden Republik Ghana, Mahamudi Bawumia dan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Republik Nambia, Lucia Iipumbu.
#WTCKL #WTC Xiamen #Irmohizam Ibrahim #WTCA
;