Wira 'Thai Cave Rescue' meninggal dunia
Agensi
Jun 22, 2023 18:13 MYT
Jun 22, 2023 18:13 MYT
BANGKOK: Seorang lagi individu penting dalam misi menyelamat 13 kanak-kanak bersama jurulatih sebuah pasukan bola sepak di Thailand pada Julai 2018 dilapor meninggal dunia pada Rabu.
Gabenor Pathum Thani, Narongsak Osottanakorn meninggal dunia pada usia 58 tahun akibat kanser.
Berita itu disahkan oleh Rachapon Ngamkrabuan, penolong pegawai Pejabat Perhubungan Awam Chiang Rai yang memaklumkan Narongsak menghembuskan nafas terakhir di Hospital Siriraj pada 5.40 petang waktu tempatan semalam.
Narongsak mendapat sanjungan ramai pihak apabila berjaya menyelia operasi menyelamat 13 mangsa daripada pasukan bola sepak Moo Pa atau Wild Boars.
Pasukan bola sepak itu terperangkap dalam gua Tham Luang yang ditenggelami air di daerah Mae Sai di Chiang Rai, tempat mendiang pernah berkhidmat sebagai gabenor.
Narongsak mendapat pujian kerana menjadi seorang yang menepati janjinya dan mengorbankan masa dan tenaganya sepanjang operasi itu.
Mendiang juga dipuji kerana dia melayan 13 mangsa yang terperangkap itu seolah-olah mereka adalah keluarganya sendiri, dan berjanji untuk melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan mereka.