'Wira' empat beradik hilang di Hutan Amazon masih gagal ditemui
Agensi
Jun 14, 2023 15:30 MYT
Jun 14, 2023 15:30 MYT
BOGOTA: Seekor anjing penyelamat bernama Wilson yang membantu mencari empat beradik yang hilang selama 40 hari di Hutan Amazon, Colombia, masih belum ditemui.
Puluhan askar kini sedang menjelajah seluruh hutan untuk mencari Wilson yang hilang semasa bertugas dua minggu lalu, dan berjanji "tidak akan meninggalkan rakan seperjuangan" mereka.
Dengan pengakhiran yang menggembirakan buat Lesly, 13; Soleiny, 9; Tien Noriel, 5; dan Cristin, 1, warga Colombia kini mengalihkan perhatian terhadap usaha membawa pulang Wilson dengan selamat.
“Pencarian belum berakhir,” tegas pasukan tentera dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas kanak-kanak itu dikesan Jumaat lalu, sambil menambah lebih 70 askar dikerahkan terus berada dalam hutan untuk mencari anjing baka Belgian Shepherd berusia enam tahun tersebut.
Mereka termasuk Cristian David Lara, pengendali Wilson.
Lara memaklumkan akhbar El Espectador yang dia tidak akan berganjak selagi tidak menemui Wilson.
"Kami akan mencari Wilson, kami akan membawanya kembali," kata Jeneral Pedro Sanchez, yang mengetuai pencarian kanak-kanak itu sebelum ini.
Wilson memainkan peranan besar dalam penemuan empat beradik itu selepas menemui botol susu Cristin yang dibuang kira-kira empat kilometer dari bangkai pesawat, beberapa hari selepas nahas pesawat kecil pada 1 Mei yang meragut nyawa tiga individu dewasa, termasuk ibu empat kanak-kanak berkenaan.
Wilson dan beberapa anjing pengesan lain juga menemui petanda yang meyakinkan pasukan penyelamat bahawa empat beradik itu masih hidup, seperti buah-buahan yang tidak habis dimakan, lampin yang dibuang, tempat perlindungan sementara dan kesan tapak kaki.