Winnie: Mandela 'hela nafas terakhir dan berehat'

Astro Awani
Disember 13, 2013 09:04 MYT
Nelson Mandela "menghela nafas terakhir dan ‘berehat’", kata bekas isterinya Winnie Madikizela-Mandela.
Itu adalah reaksi pertama bekas wanita pertama Afrika Selatan semenjak bekas suaminya itu meninggal dunia pada 5 Disember lalu.
Winnie berkata dia bergegas ke sisi bekas presiden Afrika Selatan itu pada saat-saat terakhir beliau masih bernyawa.
“Saya mendekati beliau dan ketika itu beliau bernafas dengan perlahan sekali. Saya menyentuh tubuhnya untuk mengetahui keadaannya dan badannya terasa sejuk. Beliau kemudiannya menghela nafas yang terakhir dan ‘berehat’. Beliau telah pergi”, katanya dalam satu temu bual dengan televisyen Britain ITV.
Isteri kedua Mandela itu berkata barisan doktor yang merawat Mandela meyakinkannya bahawa Mandela tidak berada dalam kesakitan pada hari-hari terakhir beliau.
"Saya menganggap diri saya sangat bertuah kerana berada di sisi Mandela ketika beliau menghembuskan nafas terakhir.
"Saya berada di sebelah beliau lebih tiga setengah jam dan nyata pada masa itu beliau sedang nazak. Kemudian saya sedar bahawa Tuhan telah berlaku adil kepada kami kerana telah memberikan tempoh masa yang panjang untuk mengucapkan selamat tinggal.
"Saya tahu kami telah mengecapi saat-saat terakhir (bersama mendiang). Sudah tidak dapat dirasakan sampai tidak dapat bertindak balas terhadap perasaan itu. Saya tidak boleh menggambarkan kesedihan seperti itu.
"Walaupun dia berusia 95 tahun dan telah mencapai banyak kejayaan, terdapat begitu banyak lagi perkara yang tidak sempat dia lakukan. Tetapi saya rasa perjalanannya sudah selesai.
Winnie berkata pengorbanan yang dibuat sepanjang hubungannya dengan Mandela semasa beliau dipenjarakan selama 27 tahun adalah berbaloi demi Afrika Selatan yang bebas.
Winnie turut berkata dia sanggup membuat pengorbanan yang sama untuk ke 100 kali lagi.
Winnie yang berusia 77 tahun itu berkata dia tidak berhasrat untuk mewarisi status politik bekas suaminya.
Mandela mengahwini Winnie pada tahun 1958 dan pasangan itu dikurniakan dua anak perempuan. Mereka berpisah pada tahun 1992 dan bercerai empat tahun kemudiannya.
#mandela #meninggal dunia #nafas terakhir #Winnie
;