Winnie Madikizela-Mandela diberi penghormatan negara
Agensi
April 2, 2018 05:49 MYT
April 2, 2018 05:49 MYT
Ikon pejuang anti-aparteid, Winnie Madikizela-Mandela, yang meninggal dunia pada Isnin, bakal disemadikan mengikut pengkebumian negara, 14 April depan dengan majlis peringatan khas dijadual dua minggu lagi.
Perkara itu disahkan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa bagi memperingati jasa beliau memperjuangkan hak penduduk kulit hitam.
"Afrika Selatan kehilangan seorang ibu, seorang rakan, seorang pejuang, seorang pemimpn dan ikon, dan beliau meninggalkan legasi yang besar,
"Ia diumpamakan dalam pepatah budaya Afrika, bahawa sebatang pokok yang besar telah tumbang,"jelas Ramaphosa ketika mengumumkan perkara berkenaan.
Winnie, menghembuskan nafas terakhir pada usia 81 tahun, akibat sakit yang berpanjangan.
Pemergiannya dilaporkan dalam keadaan aman, dikelilingi keluarga dan sahabat terdekat.
Jurucakap keluarga memaklumkan Winnie keluar masuk hospital sejak awal tahun ini.
Beliau dilahirkan pada 26 September 1936 di Bizana, daearah Eastern Cape.
Minat Winnie dalam politik berputik sejak muda, memandangkan beliau berkhidmat sebagai pekerja sosial di hospital.
Winnie berkahwin dengan Nelson Mandela pada 1958.
Apabila Mandela dipenjarakan seumur hidup pada 1964 kerana sabotaj dan melancarkan plot untuk menyingkirkan kerajaan, Winnie memulakan kempen tanpa henti untuk membebaskan suaminya.
Perjuangan itu kemudian membolehkan Winnie sendiri muncul figura kempen anti-aparteid, dan menyebabkannya turut berdepan tahanan dan dibuang negeri.
Keperitan akhirnya membuahkan hasil apabila Mandela dibebaskan dari penjara Victor Verster, pada 11 Februari 1990.
Gambar Winnie dan Mandela memegang tangan ketika keluar dari pusat tahanan itu, kekal jadi satu daripada imej yang paling diingati sehingga kini, melambangkan perjuangan penduduk kulit hitam di Afrika Selatan.
Empat tahun kemudian, pasangan ini menang satu lagi perjuangan apabila Mandela dilantik sebagai presiden kulit hitam pertama negara itu, sekaligus menamatkan dominasi kulit putih selama berabad lamanya.
Perkahwinan mereka bagaimanapun mula retak beberapa tahun selepas Mandela dibebaskan.
Pasangan ini yang mempunyai dua anak, berpisah pada 1996, selepas empat dekad hidup bersama.
Berakhirnya era apartheid bagaimanapun menandakan permulaan perjuangan politik penuh liku buat Winnie.
Winnie mendapat gelaran 'peragut' gara-gara skandal melibatkan Kelab Bola Sepak Mandela.
Wanita ini juga didakwa bertanggungjawab atas kematian aktivis Stompei Seipei, yang ditemui dengan leher dikelar.
Winnie disabit dengan dakwaan culik dan serangan ke atas Seipei, yang berusia 14 tahun, yang dikatakan seorang pemberi maklumat.
Hukuman penjara enam tahun yang dikenakan ke atas Winnie bagaimanapun ditukar kepada denda selepas proses rayuan.
#Afrika Selatan
#anti-apartheid
#meninggal dunia
#Nelson Mandela
#politik
#Winnie Madikizela-Mandela