Wilayah Palestin yang diduduki akan dilindungi dan dihormati - ICJ

Bernama
Julai 19, 2024 22:00 MYT
Presiden ICJ Nawaf Salam membacakan keputusan berhubung aktiviti penempatan Israel di Wilayah Palestin, di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague, Belanda, 19 Julai 2024. (Foto AP)
ATHENS/GENEVA: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Jumaat memutuskan bahawa Wilayah Palestin yang diduduki merupakan "kesatuan wilayah tunggal," yang akan dilindungi dan dihormati.
Menekankan bahawa peraturan The Hague telah menjadi sebahagian daripada undang-undang adat antarabangsa dan dengan itu mengikat Israel, ICJ berkata "perlindungan yang ditawarkan oleh Konvensyen Hak Asasi Manusia tidak berhenti dalam kes konflik bersenjata atau pendudukan," lapor Agensi Anadolu.
Merujuk kepada pendudukan Israel di Wilayah Palestin, mahkamah menyatakan bahawa "eksploitasi sumber semula jadi" oleh Israel di Wilayah Palestin yang diduduki adalah "tidak selaras dengan kewajipannya" untuk menghormati hak rakyat Palestin terhadap kedaulatan.
Lebih khusus mengenai pengusiran paksa di Baitulmuqaddis Timur dan Tebing Barat, mahkamah menekankan bahawa dasar dan amalan Israel melanggar larangan Konvensyen Geneva Keempat mengenai pemindahan paksa populasi yang dilindungi.
"Dasar penempatan Israel melanggar Konvensyen Geneva Keempat," katanya.
Mahkamah berkata bahawa dasar dan amalan Israel menyamai aneksasi sebahagian besar Wilayah Palestin yang diduduki, dan ia "tidak yakin" bahawa perluasan undang-undang Israel ke Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur adalah wajar.
ICJ juga tetap mengatakan Israel dapat melaksanakan kuasa utamanya ke atas Semenanjung Gaza walaupun telah menarik balik kehadiran tenteranya pada 2005.
-- BERNAMA
#ICJ #Palestin #Israel #Tebing Barat