Wilayah di China luluskan cuti akibat datang bulan

Madiha Abdullah
Februari 20, 2016 15:05 MYT
Wanita yang mahu mengambil cuti ini terlebih dahulu perlu mendapatkan surat doktor sebagai syarat untuk cuti itu diluluskan.
Wilayah Anhui di China menjadi daerah ketiga di negara berkenaan yang meluluskan undang-undang baharu yang membenarkan pekerja wanita mengambil cuti apabila datang bulan.
Bermula Mac tahun ini, wanita yang mengalami ketidakselesaan atau kesakitan akibat datang bulan (biasa dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai period pain atau period cramp), boleh mengambil cuti sehingga dua hari.
The Daily Mail melaporkan, undang-undang tersebut diluluskan pada Mesyuarat Tahunan Wilayah itu beberapa minggu lalu.
Wanita yang mahu mengambil cuti ini terlebih dahulu perlu mendapatkan surat doktor sebagai syarat untuk cuti itu diluluskan.
Kewujudan undang-undang itu bagaimanapun menerima reaksi yang berbaur dari golongan wanita di negara itu.
Laman sosial terkenal China, Weibo, dipenuhi pelbagai komen, dengan majoriti berpendapat ia satu keputusan yang bertimbang rasa dari kerajaan.
Namun ramai juga yang merasakan ia agak tidak munasabah dan akan menyukarkan wanita mendapatkan pekerjaan.
Golongan pengamal perubatan juga mempersoalkan perkara tersebut dan menyatakan adalah sukar untuk menentukan tahap kesakitan sewaktu datang bulan. Justeru, pemberian cuti atas sebab itu juga disifatkan sebagai 'boleh diragui'.
Anhui menjadi wilayah ketiga di China yang meluluskan cuti seumpamanya, selepas Hubei dan Hainan. Selain China, Taiwan dan Indonesia juga dilaporkan antara yang sudah melaksanakan cuti berkenaan.
#China #cuti #datang bulan #wanita
;