Wilayah Belgorod di Rusia isytihar darurat selepas serangan Ukraine

Bernama
Ogos 14, 2024 15:38 MYT
Keadaan disifatkan "amat sukar dan tegang" ketika kawasan sempadan itu menjadi sasaran serangan dron dan peluru berpandu dari Ukraine. - AP
MOSCOW: Wilayah di sempadan Rusia, Belgorod, mengisytiharkan darurat pada Rabu ketika pasukan Ukraine terus mara ke wilayah Rusia, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Gabenor Belgorod Vyacheslav Gladkov menyifatkan keadaan sebagai "amat sukar dan tegang" ketika kawasan sempadan itu menjadi sasaran serangan dron dan peluru berpandu dari Ukraine.
Kementerian Pertahanan Rusia berkata pasukannya berjaya menangkis 117 serangan dron dan memusnahkan empat peluru berpandu taktikal. Lapangan terbang tentera Rusia juga dilaporkan telah diserang.
Berikutan pencerobohan tentera Ukraine lebih seminggu lepas, Wilayah Kursk mengisytiharkan darurat berkepentingan nasional, yang merupakan satu tahap lebih tinggi daripada darurat yang kini berkuat kuasa di Belgorod yang berjiran dengannya.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata pada Selasa pasukan negaranya telah merampas puluhan kawasan penempatan Rusia di Wilayah Kursk.
Belgorod telah diserang oleh pihak Ukraine untuk tempoh yang berpanjangan dan sering mengalami serangan meriam rentas sempadan setiap hari.
Minggu lepas, tentera Ukraine hadir sebentar di Kampung Poroz di Wilayah Belgorod dan mereka merakam video.
Selepas melawat wilayah itu, Gladkov berkata penduduk telah dibebaskan dan tentera telah berundur semula.
Beliau berkata darurat ini kini membolehkan pengeluaran dana tambahan untuk melindungi penduduk.
Angkatan bersenjata Ukraine sekali lagi melaporkan serangan dron yang banyak dari pihak Rusia semalaman. Mereka berkata 17 daripada 23 serangan itu berjaya dipatahkan.
-- BERNAMA
#darurat #sempadan #Rusia #Ukraine #Belgorod