Wikileaks akan bertanding pilihan raya Australia
Agensi
April 6, 2013 19:01 MYT
April 6, 2013 19:01 MYT
Wikileaks mendedahkan pelan untuk meletakkan calonnya bertanding di sekurang-kurangnya tiga negeri dalam pilihan raya umum Australia yang dijadual berlangsung September ini.
Pengasas Wikileaks, Julian Assange pula akan meneruskan hasrat bertanding kerusi Dewan Senat biarpun beliau masih bersembunyi di Kedutaan Ecuador di London sejak Jun lepas.
Pengarah kempen Assange, Greg Barns berkata, pihaknya telah mengenal pasti calon-calon yang akan bertanding atas tiket Wikileaks dan mereka adalah calon-calon yang berkualiti tinggi.
Wikileaks juga yakin akan menang satu kerusi Dewan Senat di setiap tiga negeri yang akan ditandinginya.
"Jadi terpulanglah kepada kerajaan (Australia) untuk mencari jalan bagaimana Assange boleh pulang ke (tanah air)," katanya kepada wartawan.
"Adalah sesuatu yang memalukan sekiranya pengundi di Victoria tidak ada perwakilan di Senat," tambahnya, sambil menyatakan keyakinan Assange akan menang pilihan raya itu.
Assange berlindung di pejabat Kedutaan Ecuador di London bagi mengelak perintah ekstradisi ke Sweden untuk berdepan tuduhan jenayah salah laku seks.
Beliau mendakwa perintah ekstradisi itu bermotifkan politik susulan tindakan Wikileaks mendedahkan fail sulit diplomatik Amerika Syarikat di seluruh dunia pada 2010.
Assange bulan lalu berkata, beliau percaya Amerika akan menggugurkan penyiasatan ke atas pendedahan itu dan Britain juga akan berbuat demikian sekiranya beliau menang pilihan raya September ini.
Beliau percaya, sekiranya siasatan itu diteruskan ia boleh membawa kepada masalah diplomatik.
Barns bagaimanapun menafikan usaha Assange bertanding dalam pilihan raya itu adalah sebagai strategi untuk mendapatkan perlindungan keluar daripada persembunyiannya dan balik ke Australia.
"Kalau itu alasannya, adalah lebih mudah untuk beliau bertanding sebagai calon bebas," katanya.
Bapa Assange, John Shipton yang juga pengerusi Parti Wikileaks senada dengan kenyataan Barns itu apabila berkata, anaknya "tegas" dalam komitmen politiknya.
Jelas beliau, Assange memperjuangkan ketelusan dan tanggungjawab pihak berkuasa dan kerajaan serta kebebasan media dan kerana itulah beliau mahu menyertai politik.
Parti Wikileaks mendakwa lebih 500 orang telah mendaftar sebagai ahli parti dan kedudukan itu membolehkan ia mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Australia mengikut peraturan pilihan raya negara itu.