Wickremesinghe umum sertai Pilihan Raya Presiden Sri Lanka

Bernama
Julai 28, 2024 08:00 MYT
Wickremesinghe menggantikan Gotabaya Rajapaksa sebagai pemimpin Sri Lanka pada Julai 2022 selepas beberapa bulan pergolakan politik dan ekonomi di negara itu. - Foto fail/REUTERS
NEW DELHI: Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, pada Sabtu mengumumkan penyertaannya dalam Pilihan Raya Presiden yang akan diadakan pada September.
Wickremesinghe, 75, menggantikan Gotabaya Rajapaksa sebagai pemimpin Sri Lanka pada Julai 2022 selepas beberapa bulan pergolakan politik dan ekonomi di negara itu.
"Dengan visi yang jelas dan tekad yang tidak berbelah bahagi untuk mengangkat negara kita di pentas global dan mengubahnya menjadi negara yang makmur dan berkembang, saya dengan bangga mengumumkan penyertaan saya dalam Pilihan Raya Presiden yang akan datang," kata Wickremesinghe.
Presiden dalam kenyataannya menyebut krisis yang belum pernah terjadi sebelum ini membawanya menjadi berkuasa dua tahun lepas.
Wickremesinghe, yang merupakan satu-satunya ahli parlimen dari Parti Nasional Bersatu (UNP) dalam parlimen, dinamakan sebagai perdana menteri oleh Gotabaya pada 13 Mei 2022.
Beliau dilantik sebagai pemangku presiden apabila Gotabaya melarikan diri ke Maldives dengan pesawat tentera dan dari situ ke Singapura di tengah-tengah pergolakan yang semakin meningkat di negara itu.
Bagaimanapun, Gotabaya kembali ke Sri Lanka beberapa minggu kemudian selepas ketegangan di sana menyusut.
"Pada masa negara kita dalam kekacauan dan di ambang kebankrapan, cinta saya terhadap negara ini dan rakyatnya yang mendorong saya untuk mengambil tugas sukar membina semula negara. Bersatu dengan kekuatan dan ketahanan rakyat kita, kami mengatasi kemusnahan kewangan dan memulihkan keadaan normal dalam kehidupan seharian kita," kata Wickremesinghe.
Pencalonan untuk Pilihan Raya Presiden pada 21 September akan diterima sehingga 15 Ogos, kata Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini.
-- BERNAMA
#Ranil Wickremesinghe #pilihan raya presiden
;