WHO ulang desakan agar dunia bersatu menentang COVID-19

Agensi
Julai 9, 2020 05:42 MYT
Dr Tedros berkata cabaran terbesar ketika ini adalah virus itu sendiri, selain kekangan kepimpinan dan solidariti di peringkat global. -AP
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengulangi desakan supaya dunia bersatu bagi mengekang COVID-19.
Ketua pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata cabaran terbesar ketika ini ialah virus itu sendiri selain kekangan kepimpinan dan solidariti di peringkat global.
“Kita tidak boleh lagi melakukan kesilapan, ancaman terbesar ketika ini adalah virus itu sendiri. Ia juga disumbangkan ketiadaan kepimpinan dan solidariti di peringkat global dan nasional.
“Seperti yang saya katakan, setiap individu bertanggungjawab. Ini adalah tragedi dan memaksa satu keadaan yang sukar. Kita tidak boleh memerangi pandemik ini jika kita tidak bersatu.
“Pandemik ini ternyata satu ujian terhadap kepimpinan dan solidariti global. Kita akan menang jika kita bersatu,” katanya.
Dr Tedros bagaimanapun tidak buat sebarang kenyataan berhubung tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengemukakan notis setahun untuk pengunduran dari WHO.
Sebaliknya perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO yang dijadual pada September depan, katanya lagi.
Ia kemudian diikuti dengan perhimpunan agung melibatkan 194 anggota pertubuhan itu.
Mei lalu, mesyuarat WHO mendesak supaya penilaian menyeluruh dijalankan berhubung pengendalian agensi itu terhadap pandemik COVID-19.
Ia dibuat selepas kritikan berulang kali dari pentadbiran Trump yang mendakwa WHO berat sebelah kepada China.
#Amerika Syarikat #China #Donald Trump #kesihatan #pandemik #perhimpunan #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #presiden #virus #WHO
;