WHO puji Arab Saudi laksana 'norma baharu' ibadah haji
Harits Asyraf Hasnan
Julai 31, 2020 15:23 MYT
Julai 31, 2020 15:23 MYT
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji usaha dan inisiatif yang dilakukan Arab Saudi dalam memastikan garis panduan dan protokol ibadah haji tahun ini dipatuhi susulan penularan COVID-19.
Dr Tedros Ghebreyesus mengulas perkara itu pada Khamis selepas 10,000 jemaah bergerak dari Arafah ke Muzdalifah di mana mereka perlu bermalam sebelum ke Mina bagi melontar jamrah.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Arab Saudi atas usaha yang dilakukan dalam memastikan ibadah haji tahun ini dalam keadaan selamat.
"Ini gambaran jelas bahawa garis panduan ketat boleh dilaksanakan sesebuah negara untuk menerima norma baharu," katanya pada sidang media di Geneva.
Ibadah haji tahun ini menyaksikan pelaksanaannya dilakukan pada skala lebih kecil iaitu hanya sekitar 10,000 jemaah, jauh lebih kecil berbanding 2.5 juta jemaah dari seluruh dunia pada tahun lalu.
Jemaah haji diwajibkan memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan fizikal ketika melakukan wukuf, tawaf dan upacara keagamaan lain sepanjang lima hari di Mekah dan beberapa lokasi lain.
Mereka juga diwajibkan menjalani pemeriksaan suhu dan perlu ditempatkan dalam kuarantin sejak mereka mulai memasuki Mekah pada hujung minggu lalu.
Seluruh dan sekitar Kaabah di Masjidil Haram yang ditutup dengan kain kiswah dibersihkan dengan rapi, yang menjadi lokasi di mana umat Islam dari seluruh dunia berdoa.
Pihak berwajib pengurusan haji sudah menutup Kaabah tahun ini, menegaskan jemaah haji tidak akan dibenarkan menyentuhnya untuk membendung kemungkinan berlaku jangkitan.
#Arab Saudi
#COVID19
#Haji
#Haji 2020
#haji COVID19
#jemaah haji 2020
#kesihatan
#Mekah
#norma baharu ibadah haji
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#WHO