WHO masih sarankan kuarantin 14 hari untuk pesakit COVID-19
Bernama
Januari 5, 2022 15:14 MYT
Januari 5, 2022 15:14 MYT
GENEVA: Meskipun kebanyakan pesakit pulih dalam tempoh lima hingga tujuh hari sejak bermulanya simptom COVID-19, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih mengesyorkan kuarantin 14 hari, lapor Xinhua memetik seorang pegawai daripada organisasi itu dalam taklimat media pada Selasa.
Bagaimanapun, kata Abdi Mahamud daripada Pasukan Sokongan Pengurusan Insiden COVID-19 WHO, negara perlu membuat keputusan mengenai tempoh kuarantin berdasarkan situasi masing-masing.
Di negara yang mencatat jangkitan rendah, tempoh kuarantin yang lebih lama boleh membantu mengekalkan bilangan kes serendah mungkin, jelasnya. Bagaimanapun,di negara yang kes tidak dapat dikawal, tempoh kuarantin yang lebih singkat mungkin wajar untuk memastikan aktiviti harian negara tidak terjejas, tambahnya.
Pegawai WHO itu memberitahu wartawan terdapat kemungkinan untuk individu dijangkiti oleh kedua-dua influenza dan COVID-19. Namun, memandangkan kedua-duanya adalah virus berlainan yang menyerang badan dengan cara yang berbeza, risiko untuk kedua-duanya bergabung menjadi virus baharu adalah '"amat sedikit''.
Menurut WHO, setakat 29 Disember 2021, kira-kira 128 negara melaporkan kes varian Omicron. Di Afrika Selatan, yang mencatatkan peningkatan mendadak dalam kes jangkitan diikuti dengan penurunan yang agak cepat, kemasukan ke hospital dan kadar kematian kekal rendah.
Bagaimanapun, situasi sama tidak semestinya berlaku di negara-negara lain, kata Mahamud.
"Walaupun kajian terkini semuanya menunjukkan fakta bahawa varian Omicron memberi kesan kepada bahagian atas sistem pernafasan dan bukannya paru-paru, yang merupakan berita baik, individu berisiko tinggi dan belum divaksin masih boleh mendapat sakit yang teruk daripada varian itu," tambahnya.
Mahamud berkata varian Omicron boleh mengatasi strain lain dalam masa beberapa minggu, terutamanya di kawasan yang mempunyai sejumlah besar orang yang mudah terdedah - terutamanya mereka yang tidak divaksin.
Menurut beliau, di Denmark kes varian Alpha mengambil masa dua minggu untuk meningkat dua kali ganda, manakala varian Omicron hanya mengambil masa dua hari.
Kumpulan Pakar Penasihat Strategik WHO (SAGE) mengenai Imunisasi dijadualkan bermesyuarat pada 19 Jan untuk mengkaji semula keadaan. Topik dalam agenda perbincangan mereka termasuk tempoh untuk dos penggalak, gabungan vaksin berlainan dan komposisi vaksin masa depan.
-- BERNAMA