WHO kutuk tindakan Israel arah hospital di Gaza pindahkan pesakit
Bernama
Oktober 15, 2023 18:43 MYT
Oktober 15, 2023 18:43 MYT
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengecam sekeras-kerasnya arahan pemindahan yang dikeluarkan Israel ke atas 22 hospital yang terletak di utara Gaza.
WHO menegaskan pemindahan secara paksa pesakit dan petugas kesihatan akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan dan kesihatan awam, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Kemudahan kesihatan di kawasan itu terus menerima kemasukan pesakit meskipun bergelut untuk beroperasi melebihi kapasiti maksimum dan sesetengah pesakit terpaksa dirawat di koridor berikutan kekurangan katil.
WHO berkata tindakan memaksa lebih 2,000 pesakit berpindah ke selatan Gaza boleh dianggap umpama "hukuman mati".
Badan dunia itu juga turut mengulangi gesaan untuk penghantaran segera bekalan perubatan, bahan api, air bersih, makanan dan bantuan kemanusiaan lain ke Gaza melalui Rafah.
-- BERNAMA