WHO jangka angka kematian meningkat di Sudan akibat sanitasi yang lemah

Bernama
April 27, 2023 05:00 MYT
Ghebreyesus berkata 61 peratus kemudahan perubatan di Khartoum ditutup dan hanya 16 peratus bekerja seperti biasa. - Gambar fail/Reuters
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan peningkatan drastik jumlah kematian di Sudan akibat wabak penyakit dan kekurangan akses kepada air dan makanan, kata ketua pengarah organisasi itu, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Rabu.
"Selain jumlah kematian dan kecederaan yang disebabkan oleh konflik, WHO menjangkakan lebih banyak kematian akibat wabak, kekurangan akses kepada makanan dan air selain gangguan kepada perkhidmatan kesihatan penting, termasuk imunisasi," kata Ghebreyesus pada taklimat akhbar, lapor Sputnik.
Beliau berkata 61 peratus kemudahan perubatan di ibu negara Sudan, Khartoum, ditutup dan hanya 16 peratus bekerja seperti biasa.
Pada 15 April, pertempuran ganas antara dua pihak meletus yang berpusat di Khartoum. Pasukan tentera kerajaan menuduh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) melakukan pemberontakan dan melancarkan serangan udara terhadap pangkalan mereka.
Abdel Fattah Burhan, ketua tentera Sudan, mengeluarkan dekri membubarkan RSF, dan sejak konflik berlaku, beberapa gencatan senjata sementara di seluruh negara dilaksanakan namun konflik itu masih belum selesai.
Setakat ini, kira-kira 600 orang terbunuh dalam pertempuran, kata Kementerian Kesihatan Sudan.
Sementara itu, WHO melaporkan lebih 450 kematian dan lebih 4,000 lagi cedera.
-- BERNAMA
#gencatan senjata #jumlah kematian #Tedros Adhanom Ghebreyesus #Sudan
;