WHO gesa Israel tarik balik sekatan bantuan ke Gaza
Astro Awani
Mei 22, 2024 08:30 MYT
Mei 22, 2024 08:30 MYT
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru agar Israel menarik balik sekatan bantuan ke Gaza.
Ketua pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus beri amaran, saluran utama untuk bantuan perubatan ke enklaf dari Mesir telah terputus.
Israel merampas dan menutup sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir pada 7 Mei.
Tindakan itu mengganggu laluan penting untuk orang ramai dan bantuan masuk dan keluar dari kawasan tersebut.
Tedros berkata, penduduk Gaza menghadapi kebuluran dan WHO menggesa Israel menarik balik sekatan dan membenarkan bantuan melaluinya.
Beliau turut menggambarkan keadaan di Palestin sebagai keterlaluan dan malapetaka.
Tambah Tedros, tanpa aliran bantuan ke Gaza, pihaknya tidak dapat mengekalkan sokongan menyelamatkan nyawa untuk hospital dan rakyat Palestin.
Selain itu, Tedros berkata, tindakan Israel telah menjejaskan enam hospital dan sembilan pusat kesihatan utama dan menyebabkan 70 pusat perlindungan kehilangan kemudahan perubatan mereka.
Katanya lagi, perundingan harian telah menurun hampir 40 peratus dan imunisasi turut menurun sebanyak 50 peratus.
Tedros berkata, kira-kira 700 pesakit kritikal dan parah yang sepatutnya dipindahkan untuk rawatan perubatan di tempat lain terperangkap dalam zon perang.
Sistem penjagaan kesihatan Gaza pada dasarnya telah runtuh sejak Israel memulakan serangan tenteranya pada 7 Oktober.
Dalam pada itu, Hospital Al-Awda Gaza di utara kekal dalam kepungan sejak Ahad dengan 148 kakitangan hospital dan 22 pesakit serta orang ramai yang mengiringi mereka terperangkap.
Tedros berkata, pertempuran berhampiran Hospital Kamal Adwan, juga di utara Gaza, telah menjejaskan keupayaannya untuk menjaga pesakit.