WHO gesa Eropah berjaga-jaga terhadap penyakit cacar monyet

Bernama
April 18, 2023 20:01 MYT
WHO Eropah merancang mengeluarkan katalog sumber mengenai perhimpunan besar-besaran mpox dan persediaan untuk acara yang besar, termasuk panduan dan maklumat terkini untuk pihak berkuasa dan penganjur acara. - Gambar hiasan
COPENHAGEN: Hampir setahun selepas wabak mpox (cacar monyet) berlaku di Eropah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin menggesa benua itu supaya berwaspada terhadap wabak itu menjelang musim perayaan.
Untuk itu kempen baharu dilancarkan ketika Eropah bakal mengalami musim bunga dan musim panas apabila beberapa festival Pride berlangsung di seluruh pekan dan bandar, kata Pejabat Wilayah WHO bagi Eropah dalam kenyataan akhbar.
Matlamat kempen itu adalah untuk menekankan mesej bahawa "cacar monyet kekal bersama kita dan kita perlu sentiasa berwaspada", lapor Xinhua.
Kempen "Ready for It" dilancarkan walaupun terdapat penurunan ketara bilangan kes mpox sejak beberapa bulan kebelakangan ini, berikutan kebimbangan WHO Eropah bahawa kemungkinan wabak itu berlaku di luar rantau ini, sama ada dari kawasan endemik atau negara yang baru terjejas.
Kempen itu menggesa kumpulan yang paling terdedah dan aktif secara seksual, yang akan menghadiri acara dan perayaan di seluruh Eropah pada musim bunga dan musim panas ini menyedari simptom campak, dan menjalani ujian serta menahan diri daripada aktiviti seksual jika mereka mengalami gejala.
Untuk menyokong mesej kempen itu, WHO Eropah merancang mengeluarkan katalog sumber mengenai perhimpunan besar-besaran mpox dan persediaan untuk acara yang besar, termasuk panduan dan maklumat terkini untuk pihak berkuasa dan penganjur acara.
Menurut WHO Eropah, kempen itu bertepatan dengan penerbitan strategi mpox baharu, yang menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil oleh negara anggota di rantau ini sebagai persediaan menghadapi musim bunga dan musim panas, serta langkah jangka sederhana hingga panjang yang diperlukan untuk menghentikan penularan wabak yang berterusan.
Wabak atipikal mpox diisytiharkan pada Mei 2022 di rantau Eropah WHO. Pesakit, terutama lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, dikenal pasti di klinik kesihatan seksual, tetapi sesiapa sahaja boleh dijangkiti mpox melalui hubungan rapat, menurut WHO
-- BERNAMA
#cacar monyet #eropah #WHO #waspada