WHO berjaya perlahankan penularan wabak Ebola di Congo
APTN
Jun 12, 2018 06:01 MYT
Jun 12, 2018 06:01 MYT
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berjaya memperlahankan penularan wabak Ebola yang mula menular di Republik Demokratik Congo (DRC) awal bulan lalu.
Antara pendekatan yang dilakukan pihak WHO adalah memberikan vaksin kepada seribu warga Congo yang menetap di kawasan-kawasan penularan wabak tersebut.
Vaksin tersebut dibangunkan oleh Agensi Kesihatan Awam Kanada dan dimilliki oleh Merck yang berpangkalan di Kirkland.
Pemilihan penggunaan vaksin ini dilihat sebagai satu pilihan terbaik kerana ia menjanjikan kadar kemujaraban positif dengan berkurangnya angka penularan jika dibandingkan pada 2014 hingga 2016 yang menyaksikan 11,000 mangsa terkorban di Afrika Barat.
Menurut Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyseus, pendekatan yang dilakukan itu berjaya menunjukkan impak positif dalam mencegah wabak Ebola daripada terus menular.
Selain itu, pihak berkuasa kesihatan DRC juga melaporkan bilangan kes penularan juga menunjukkan angka penurunan memberangsangkan.
Bagaimanapun masih terdapat halangan bagi membekalkan vaksin kepada penduduk republik itu yang menetap di kawasan luar bandar.
Ini kerana masih terdapat penduduk republik itu yang menetap jauh di kawasan hutan dan keadaan jalan yang tidak berturap menyukarkan penghantaran vaksin tersebut kepada mereka.
Namun WHO juga tetap komited menyokong dan memberi fokus kepada usaha kecemasan dan kesiapsiagaan kepada sembilan negara yang berjiran dengan DRC dengan anggaran peruntukkan melebihi 15.5 juta dolar Amerika selama sembilan bulan.
Antaranya Angola, Burundi, Rwanda, Tanzania, Sudan, Uganda dan Zambia.