WHO beri ingatan, COVID-19 belum berakhir
Astro Awani
Mei 22, 2022 19:27 MYT
Mei 22, 2022 19:27 MYT
GENEVA : Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi peringatan bahawa pandemik COVID-19 masih belum berakhir.
Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, walaupun wabak berkenaan semakin menunjukkan perkembangan yang baik, namun, semua negara perlu sentiasa mengambil langkah waspada.
Kata Ghebreyesus, hampir 70 negara masih bergelut dengan peningkatan kes COVID-19 dengan lebih sejuta orang masih tidak divaksin.
"Kita sangat bernasib baik kerana di Switzerland mempunyai akses kepada vaksin dan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi.
"Namun, seperti yang semua tahu, tidak semua negara di dunia bernasib baik. Ini kerana hampir 70 negara menghadapi peningkatan kes COVID-19 dan lebih sejuta tidak divaksin.
"Pandemik ini belum berakhir di mana-mana, sehingga ia berakhir di semua tempat. Memang ada perkembangan yang baik, tetapi kita semua perlu terus berwaspada," katanya semasa berucap merasmikan "Walk The Talk: The Health For All" sempena World Health Assembly ke-75 di Geneva, Switzerland.
World Health Assembly ke-75 bermula hari ini dan berakhir pada 28 Mei ini.
Ujarnya lagi, pandemik COVID-19 memberi banyak pengajaran kepada penduduk dunia bahawa kesihatan adalah perkara paling berharga di dunia.