WHO beri amaran mungkin berlaku puncak kedua peningkatan kes COVID-19

Astro Awani
Mei 25, 2020 07:25 MYT
WHO juga menggesa semua negara untuk terus melaksanakan langkah kesihatan awam untuk memastikan jumlah kes baru terus menurun. - REUTERS/Gambar fail
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kepada negara yang telah berjaya mengekang penularan COVID-19 supaya sentiasa berjaga-jaga meskipun wabak tersebut telah dibendung di negara berkenaan.
Pengarah Kecemasan WHO, Dr Michael Ryan berkata, lengkungan gelombang pertama penularan virus tersebut mungkin akan mengandungi puncak kedua pada grafnya.
Tegas beliau, amaran tersebut lebih khusus kepada negara yang telah mengurangkan langkah pengawalan penularan COVI-19.
“Kita tidak boleh mengandaikan hanya kerana penularan mungkin dilihat tidak begitu aktif seperti sebelum ini, ia akan terus seperti itu dan kita akan mempunyai masa beberapa bulan bagi bersedia menghadapi gelombang kedua.
“Kita mungkin akan ada puncak kedua dalam gelombang ini. Ini yang berlaku dalam pandemik sebelum ini. Ia berlaku dalam pandemik pada tahun 1919 (The Spanish Flu).
“Kita mungkin akan saksikan puncak kedua dalam lengkungan graf, tidak semestinya gelombang kedua,” katanya pada Isnin.
WHO juga menggesa semua negara untuk terus melaksanakan langkah kesihatan awam untuk memastikan jumlah kes baru terus menurun.
Tambahnya, sejumlah besar populasi dunia masih lagi berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19.
#amaran #COVID-19 #gelombang kedua #gelombang pertama #graf #kesihatan #koronavirus #lengkungan #Michael Ryan #penularan #puncak kedua #risiko #WHO
;