WHO beri amaran jangan campur vaksin COVID-19
Afiezy Azaman
Julai 13, 2021 14:00 MYT
Julai 13, 2021 14:00 MYT
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menasihatkan agar tidak mencampur dan memadankan vaksin COVID-19 daripada pengeluar yang berbeza.
Ketua Saintis WHO, Dr Soumya Swaminathan berkata, perbuatan itu satu 'trend berbahaya' susulan tiada data yang mencukupi tersedia mengenai kesannya terhadap kesihatan.
"Ia trend yang agak bahaya," katanya ketika ditanya mengenai perkara itu pada satu sidang media dalam talian pada Isnin, menurut laporan Reuters.
Mengulas lanjut, Swaminathan berkata, ini akan menjadi keadaan yang huru-hara di negara-negara sekiranya warganya mulai putuskan bila dan siapa yang akan mengambil dos kedua, ketiga dan keempat.
"Ia akan menjadi satu keadaan huru-hara di negara-negara, jika rakyat mula memutuskan bila dan siapa yang akan menerima dos kedua, ketiga dan keempat," katanya.
Terdahulu, Thailand dilaporkan bakal memberi vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca sebagai suntikan dos kedua kepada individu yang telah menerima vaksin Sinovac sebagai dos pertama.
Menteri Kesihatan Thailand pada Isnin mengumumkan langkah baharu itu sebagai sebahagian daripada strategi imunisasi negara.
Jika pelan itu dilaksanakan, ia sekali gus menjadi kaedah campuran atau ‘mix and match’ pertama menggunakan vaksin China dan vaksin yang dibangunkan negara Barat.
Kerajaan Malaysia juga sedang mempertimbangkan kaedah pemberian campuran dua vaksin atau heterologi dalam sebahagian pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kajian itu sedang dibuat berikutan telah dilaksanakan oleh beberapa buah negara.
#Khairy Jamaluddin
#WHO
#China
#Thailand
#Malaysia
#COVID-19
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#AstraZeneca
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#dos pertama
#dos kedua
#PICK
#vaksin
#suntikan