WHO akui silap buat penilaian tentang koronavirus

Agensi
Januari 27, 2020 06:52 MYT
WHO akui silap buat penilaian berhubung koronavirus yang kini berada pada paras tertinggi
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dikritik susulan pengendalian penularan wabak sebelum ini, akui tersalah penilaian mengenai koronavirus.
Agensi berpangkalan di Geneva itu sebaliknya dalam satu laporan mendedahkan risiko jangkitan di China, peringkat serantau dan global adalah pada paras tertinggi.
Dalam laporan itu, WHO akui badan itu tersilap apabila meletakkan risiko global dalam peringkat sederhana.
Laporan berkenaan bagaimanapun tidak bermakna WHO mengisytihar situasi kecemasan antarabangsa.
Dalam satu laporan lain, WHO menjelaskan bahawa mereka telah menyatakan ‘dengan tidak tepat’ bahawa risiko pada peringkat global adalah ‘sederhana’.
Bagaimanapun, penilaian terbaharu tidak akan mengubah apa-apa terutamanya berkenaan dengan pengumuman darurat antarabangsa.
WHO pada Khamis lalu menghentikan pengumuman koronavirus sebagai darurat kesihatan disebabkan bimbang dengan komuniti antarabangsa.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang mengunjungi China minggu ini telah diajukan beberapa soalan mengenai pendirian WHO.
“Ini adalah kecemasan di China tetapi ia belum menjadi kecemasan kesihatan global,” katanya.
Virus itu kali pertama dikesan di Wuhan, China sejak 31 Disember tahun lalu.
[LAPOR LANGSUNG] Hati-hati dengan wabak koronavirus!
BACA: Bersatu menentang koronavirus secara tenang, rasional dan mantap
BACA: Koronavirus: Pasukan respons kecemasan ditubuh di Kedutaan Malaysia di Beijing
BACA: Koronavirus: Angka korban meningkat, 106 disahkan maut di China
BACA: Saintis Amerika Syarikat siasat struktur koronavirus, 99 peratus menyerupai SARS
Terdahulu, pada 31 Disember 2019, WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di Wuhan.
Sebagai rekod, ia melibatkan sekumpulan kes pertama yang menunjukkan tanda-tanda pneumonia atas sebab yang tidak diketahui.
Virus berkenaan juga dikatakan tidak sepadan dengan mana-mana virus yang diketahui dan ia sekali gus membangkitkan kebimbangan apabila virus baharu itu tidak diketahui kaedah bagaimana ia mempengaruhi orang ramai.
Seminggu kemudian, pada 7 Januari, pihak berkuasa China mengesahkan bahawa mereka telah mengenal pasti virus baharu.
Ia adalah koronavirus, yang merupakan keluarga virus merangkumi selesema biasa dan virus seperti Sindrom pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Asia Barat MERS.
Virus baharu ini dinamakan sebagai ‘2019-nCoV’.
Untuk itu, WHO telah bekerjasama dengan pihak berkuasa China dan pakar global dari semasa ke semasa untuk mengetahui lebih lanjut tentang virus itu.
Sehingga kini, koronavirus direkodkan telah berjangkit di 18 buah negara melibatkan sebanyak 92 kes di luar China.
#China #koronavirus #paras tertinggi #penularan wabak #risiko jangkitan #situasi kecemasan antarabangsa #virus #WHO
;